Terap nilai Islamik dalam kepimpinan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Sifat amanah, adil, empati dan tabligh merupakan antara nilai-nilai utama yang disarankan dalam Islam dan wajib ada dalam diri seorang pemimpin.

“Nilai-nilai murni ini perlu dihayati dan datang daripada hati yang bersih dan tidak akan diperoleh dari mana-mana program kepimpinan konvensional yang dihadiri.”

Nilai-nilai itu ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Sijil bagi Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-28, Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-29 dan ke-30 bagi 2020 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Beliau menerangkan bahawa keunggulan sifat amanah tidak dapat dipersoalkan kerana sifat itu berfungsi mengawal moral seorang pemimpin untuk sentiasa berada di landasan yang betul.

Mengulas mengenai sifat adil, Yang Berhormat Dato menerangkan, pemimpin yang adil tidak akan menuduh atau bertindak terburu-buru tanpa usul periksa, pemimpin yang adil akan membuat keputusan yang saksama berlandaskan penelitian fakta serta pemimpin yang adil akan mendengar dan memberi peluang sama rata kepada orang-orang yang dipimpinnya untuk menyuarakan pandangan dan memberikan penjelasan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Abdul Mokti bergambar ramai dengan peserta EDPMMO ke-29.

“Oleh itu, marilah kita sama-sama mendidik hati untuk sentiasa menegakkan keadilan dan menjauhi sifat-sifat pilih kasih dan berat sebelah dan tidak menzalimi pegawai dan orang yang berkenaan.”

Mengulas mengenai sifat empati, beliau menjelaskan bahawa tidak semua orang mampu secara semula jadi untuk menyelami dan memahami kesusahan, perasaan atau emosi orang lain.

“Tetapi, ketahuilah bahawa Islam menganjurkan hambanya untuk memiliki sifat ini apatah lagi bagi mereka yang berada dalam kedudukan sebagai seorang ketua atau pemimpin,” ujarnya.

Beliau menjelaskan lanjut bahawa keindahan sifat empati ialah ia dirasai apabila timbulnya rasa pemedulian sesama manusia dan oleh itu, pemimpin harus bertindak sewajarnya setelah mendalami serta memahami situasi dan perasaan orang-orang yang dipimpin.

“Dalam hal ini, seorang pemimpin mestilah peka akan kemaslahatan orang bawahannya. Jangan hanya berkurung di dalam bilik dan pandai memberikan arahan sahaja.

“Tetapi berbincanglah dan mendengar pandangan daripada orang lain, InshaAllah, suatu kerja atau isu itu akan dapat diselesaikan serta mendapat berkat,” tegas Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti.

Sifat terakhir ialah sifat Tabligh di mana Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa ia membawa erti menyampaikan dan dalam konteks kepimpinan, seorang pemimpin mestilah dapat menyampaikan panduan, dorongan dan sokongan kepada orang yang dipimpin dalam sama-sama mencapai sasaran setiap organisasi.

“Seorang pemimpin mestilah dari semasa ke semasa mempunyai keinginan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan memajukan diri kerana mereka inilah berperanan untuk menyampaikan dasar, panduan, dorongan kepada orang yang dipimpin.

“Pemimpin yang hebat adalah seorang yang dapat menyampaikan panduan serta dorongan dengan jelas, mudah difahami dan yang lebih penting diterima oleh orang dipimpin,” ulas Yang Berhormat Dato.

Rumusan daripada sifat-sifat itu, jelasnya, kompetensi yang diperoleh melalui program kepimpinan tidak akan lengkap tanpa diasaskan dengan pegangan nilai-nilai murni berkenaan.

“Ia umpama membina bangunan dengan struktur asas yang kuat. Tanpa struktur asas tersebut, ketahanan bangunan sudah tentu diragui dan ditakuti akan runtuh. Begitu juga halnya dalam konsep kepimpinan.”

Yang Berhormat Dato menekankan lagi, “Kesepaduan antara nilai-nilai murni dengan kompetensi kepimpinan yang lainnya wajib diambil berat kerana menyerahkan kuasa kepada yang tidak layak dan tidak memenuhi kesepaduan tersebut, sama seperti mengkhianati arahan Allah SWT dan membelakangi warisan kepimpinan Rasulullah SAW.”

Di majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti menyampaikan sijil kepada seramai 24 orang peserta EDPSGO ke-28, 25 orang peserta EDPMMO ke-29 dan 25 orang peserta EDPMMO ke-30.

Program-program pembangunan eksekutif dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam itu merupakan program induk Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam yang diwujudkan bagi mendukung hasrat Wawasan Brunei 2035 melalui Strategi Pembangunan Institusi.