Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Terap nilai MIB cegah salah guna dadah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN,14 SEPT – Penekanan kepada penerapan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB) dalam diri semua orang dapat membantu untuk mencegah serta menentang penyalahgunaan dadah.

    Penekanan itu dibuat oleh ahli-ahli panel semasa Forum Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2022 yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Bokok, Daerah Temburong, hari ini.

    Hadir pada forum yang dianjurkan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) dengan kerja-sama Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Cawangan Temburong itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.

    Forum bertajuk ‘Cegah Bersama Negara Bahagia Menurut Perspektif MIB’ itu mengetengahkan ilmuan anak jati Daerah Temburong iaitu Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba dan Haji Mail bin Besar dengan forum dikendalikan oleh Dayang Siti Syuhaidah binti Haji Mohd Yusoff.

    Ahli panel menekankan pentingnya penerapan nilai-nilai murni MIB dalam usaha untuk mencegah, membanteras dan menentang kegiatan penyalahgunaan dadah di negara ini.

    Mereka juga menyatakan bahawa daripada tajuk forum jelas memberikan penekanan kepada orang ramai mengenai usaha untuk mencegah penyalahgunaan dadah serta peranan dan tanggungjawab mereka ke arah mencapai sebuah negara bahagia.

    Tajuk forum dipilih berdasarkan kes-kes yang meningkat dan pada masa yang sama, bermatlamat untuk membuka minda masyarakat membincangkan mengenai melaksanakan tanggungjawab menurut perspektif falsafah MIB.

    BKN memilih untuk mengadakan majlis forum berkenaan di Daerah Temburong kerana ia bersempadan dengan negara asing yang sering dikaitkan dengan kes-kes penyeludupan dan barang-barang tegahan.

    Forum itu juga merupakan kesinambungan kepada Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2022 (HAD).

    Acara kemuncak HAD telah diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar Ali ‘Saifuddien dengan membawa tema ‘Cegah Bersama Negara Bahagia’.

    Sambutan akan disemarakkan lagi sepanjang tahun dengan melaratkan beberapa aktiviti ke setiap daerah.

    Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak menghadiri Forum Hari Antara-bangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2022 yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Bokok, Daerah Temburong, kelmarin.
    Dayang Siti Syuhaidah (kiri), Haji Matusin (tengah) dan Haji Mail semasa membincangkan tajuk forum, ‘Cegah Bersama Negara Bahagia Menurut Perspektif MIB’.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...