Terap pengetahuan amali, teori dalam penjagaan fizikal

Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) melalui Jabatan Pembangunan Bola Sepak telah menganjurkan kursus penjagaan fizikal selama lima hari bermula hari ini.

Sehubungan itu, majlis pembukaan kursus tersebut telah dirasmikan oleh Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Haji Madli bin Haji Mohd Yusof dan turut dihadiri oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Agung NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong serta Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali.

Juga hadir ke majlis itu ialah ahli-ahli jawatankuasa eksekutif NFABD dan kakitangan sekretariat NFABD.

Kursus berkenaan merupakan asas penjagaan keadaan fizikal terutama bagi ahli sukan bola sepak dan penerapan pengetahuan amali serta teorinya yang akan melibatkan 28 orang peserta terdiri daripada jurulatih dan penolong jurulatih bola sepak tempatan dan liga remaja NFABD.

Para peserta akan dibimbing oleh Dr Magni Mohr dari Denmark yang merupakan salah seorang jurulatih penjagaan fizikal tersohor Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan memiliki pengalaman yang luas dalam penjagaan bentuk fizikal pemain bola sepak.

Gambar ramai bersama barisan peserta yang mengikuti kursus tersebut.
Gambar ramai bersama barisan peserta yang mengikuti kursus tersebut.
Dr Magni Mohr dari Denmark.
Dr Magni Mohr dari Denmark.

Beliau pernah bertugas bersama kelab besar seperti Juventus dari Itali, Chelsea dari England dan pasukan kebangsaan Denmark.

Inisiatif ini adalah usaha NFABD bersama FIFA yang memberikan penerapan pengetahuan dan pengalaman penjagaan fizikal mantap di dalam sukan bola sepak secara teratur dan sistematik kepada barisan peserta.