Terapi senaman bantu pesakit Parkinson

SUBANG JAYA – Dengan usia yang sudah menjangkau 64 tahun, K.H. Wong sentiasa mengamalkan gaya hidup yang aktif dan beranggapan beliau sentiasa dalam keadaan sihat.

Bagaimanapun, kira-kira empat tahun lalu, sewaktu menyertai trek ke Kem Pangkalan Annapurna di Nepal, Wong yang sememangnya kaki hiking mendapati cara beliau berjalan agak ganjil kerana seakan mengheret kaki kirinya.

“Bila saya dapati isteri saya (yang turut bersama beliau) berjalan lebih pantas daripada saya, saya sudah jangka ada yang tak kena dengan diri saya,” kongsi Wong, seorang pesara perniagaan dan kini tinggal di Petaling Jaya.

Sekembalinya dari ekspedisi itu, beliau berjumpa doktor yang memberitahu bahawa simptom yang dialaminya di samping mengheret kaki kiri, Wong juga tidak dapat menghayun tangan kirinya seluas tangan kanannya menunjukkan tanda awal Penyakit Parkinson (PD).

“Pada mulanya, saya tak terima apa yang doktor cakap. Saya percaya saya sihat, aktif dan tak ada penyakit kronik, jadi macam mana dapat PD,” katanya.

Sesi senaman berkumpulan, menggunakan dumb-bells untuk meningkatkan kekuatan otot. – Bernama
Wong (kiri) dan Kwan melakukan salah satu senaman yang dapat membantu kemahiran koordinasi mereka. – Bernama
Yvonne (kanan) membantu Alice untuk meluruskan tangannya. – Bernama

Ini pula kisah Alice Low, 80, seorang wanita yang pernah menjalani kehidupan yang aktif dan sebelum ini membantu suaminya menguruskan sebuah pub di Petaling Jaya. Lebih empat tahun lalu, ketika sedang memandu, beliau berasa tangannya menggigil dan menyebabkan roda stereng bergegar. Dia berjumpa doktor dan kemudian, pakar neurologi yang mengesahkan apa yang ditakutinya dia menghidap PD.

Seorang lagi pesakit PD ialah James Kwan, 62, berjumpa dengan pakar neurologi yang mengesahkan beliau mengalami PD peringkat awal, selepas menjalani pelbagai ujian untuk menyingkirkan gangguan neurologi yang lain.

Terapi senaman

PD adalah gangguan neurodege-neratif yang boleh menyebabkan tremor (menggigil pada tangan, lengan, kaki, rahang dan muka); stiffness (kekakuan atau pun kejang pada anggota dan belakang), slowness (pergerakan yang perlahan) dan ketidakstabilan postur (kemerosotan keseimbangan dan koordinasi badan).

Secara mudahnya, PD berlaku apabila sel saraf atau neuron di kawasan otak yang mengawal pergerakan mengalami kemerosotan atau mati. Lazimnya neuron menghasilkan kimia otak yang penting dikenali sebagai dopamin dan apabila neuron mati atau merosot, ia menghasilkan dopamin yang sedikit, yang menyebabkan masalah pergerakan, dikaitkan dengan PD.

Dua kali seminggu, mereka akan berjumpa di sebuah gimnasium kecil dipanggil Kupuna Community Fitness terutamanya untuk warga emas, terletak di Pusat Perniagaan Taipan di USJ10. Di gimnasium ini, mereka menyertai sesi senaman secara berkumpulan dibuat sesuai untuk mereka yang mengalami PD.

Menurut jurulatih mereka, Yvonne Thomas, yang berkhidmat sebagai jurulatih peribadi dan kecergasan sejak 2008, latihan berfungsi yang tetap juga memperbaiki ketidakseimbangan otot, yang jika dibiarkan, boleh memburukkan imbangan pesakit PD.

Yvonne, 58, dan suaminya, Eric Lim, 60, yang menubuhkan Kupuna Community Fitness pada tahun 2016, tidak mendakwa mereka pakar dalam PD tetapi Yvonne begitu bersungguh-sungguh mahu membantu mereka yang mempunyai keperluan khas.

“Sebagai jurulatih kecergasan, saya banyak menumpukan masa dan usaha untuk menganjurkan sesi latihan untuk mereka yang menghidap PD supaya mereka melakukan senaman dalam keadaan ceria, dan dapat meningkatkan mutu kehidupan mereka,” kata Yvonne. Sesi senaman beliau berdasarkan program PD Amerika atau Britain.

Kehidupan lebih berkualiti

Yvonne mempunyai lima orang yang menghidap PD menyertai program latihannya yang dibuat pada setiap Rabu dan Jumaat. Menurut Wong yang secara tetap mengikuti sesi latihan tersebut sejak setahun lalu, pergerakannya semakin baik dan beliau mampu bermain badminton, golf dan pingpong serta berenang.

Selepas Low didiagnos dengan PD, beliau menjadi murung selama setahun dan pada tahun 2017, anak perempuannya memperkenalkannya kepada Yvonne. Low, yang juga seorang tukang masak yang hebat mempunyai saluran memasaknya sendiri di YouTube dikenali sebagai Grandma Alice’s Kitchen, yang dimulakan pada awal tahun ini.

Pergerakan fizikalnya juga semakin baik, malahan beliau kini boleh memanjat tangga untuk ke pusat Kupuna Community Fitness, tanpa perlu dibantu sesuatu yang beliau tidak dapat lakukan sebelum menyertai program latihan tersebut.

“Saya menjadi semakin gembira, emosi saya juga semakin baik,” katanya, sambil menambah, beliau sentiasa menunggu tiba harinya untuk ke sesi latihan berkumpulan di gim berkenaan.

Pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila gim ditutup, pergerakan Low mula menjadi perlahan kerana kurang senaman tetapi beliau semakin pulih apabila gim dibuka semula sekitar Jun lepas.

Menurut Yvonne: “Ada perbezaan apabila mereka secara konsisten melakukan senaman. Pergerakan menjadi terhad apabila mereka tidak bersenam secara kerap.”

Kwan, yang juga menyertai program senaman di gim itu sejak setahun lalu berkata, beliau berasa lega apabila beliau mendapat tahu tentang Kuppuna Community Fitness yang menyediakan kemudahan untuk mereka yang mempunyai keperluan khas.

“Orang seperti saya terpaksa menerima hakikat keadaan kami akan bertambah teruk setiap masa yang berlalu. Doktor saya menyuruh saya menjalani kehidupan saya sebaik mungkin dan saya tahu kalau duduk sahaja tak buat apa-apa, tidak akan membantu saya. Bersenam dapat mem-bantu pergerakan saya. Hidup saya lebih ceria,” katanya.

Tingkatkan keyakinan

Menjelaskan lebih lanjut latihan berfungsi untuk mereka yang menghidap PD, Yvonne berkata ia melibatkan program rejimen asas yang memperbaiki kekuatan serta kemahiran otot motor, termasuk otot tangan, kaki dan muka yang terjejas akibat bradikinesia atau pergerakan yang perlahan.

“Otot menjadi kurang tegar dengan senaman yang konsisten. Semua pergerakan untuk mereka yang mempunyai PD diperluaskan termasuk untuk senaman otot muka untuk memperlahankan kesan seperti yang dapat dilihat pada kes PD,” katanya.

Beliau mengesyorkan senaman selama sejam untuk tiga hingga lima kali seminggu untuk mereka yang mempunyai PD supaya otot mereka lebih kuat dan fleksibel serta memperlahankan ketidakseimbangan postur, kekakuan dan terpaksa mengheret kaki.”

Selain daripada kesan fizikal senaman, satu lagi manfaat mereka yang menghidap penyakit yang menimbulkan kelemahan seperti PD ialah meningkatkan keyakinan dan harga diri, serta peluang untuk berinteraksi dengan orang lain yang mengalami keadaan yang sama.

“Senaman berkumpulan yang berasaskan komuniti terutamanya penting untuk mereka kerana senaman merangsang pengeluaran hormon yang dapat menyekat berlakunya kemurungan memandangkan PD boleh menyebabkan kemurungan,” katanya. – Bernama