Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Terapkan amalan suka kebersihan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Islam adalah agama syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah dalam menjaga kebersihan di mana menjaga kebersihan adalah sesuatu yang disukai Allah SWT dan rasulNya.

    Islam mengajarkan umatnya tentang kebersihan yang meliputi kebersihan rohani, jasmani, pakaian, tempat dan alam sekitar. Perkara ini tidak boleh dipisahkan kerana kebersihan itu melambangkan keteguhan iman seseorang terhadap Allah SWT.

    Khatib menegaskan perkara itu dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Menjaga Kebersihan dan Alam Sekitar’, hari ini.

    Beliau seterusnya menekankan betapa pentingnya kebersihan itu sehingga Rasulullah SAW mengumpamakan kebersihan itu sebagai kunci sembahyang. Ini terbukti menerusi hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi sebagaimana maksudnya ‘Daripada Ali bin Abu Talib, Rasulullah SAW bersabda: Kunci sembahyang adalah suci’.

    “Agama kita menganjurkan umatnya supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dalam semua perkara yang melibatkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Ini kerana kebersihan itu boleh mendatangkan suasana yang tenang, kesihatan yang terjamin dan kesejahteraan kepada semua,” ujar khatib.

    Oleh yang demikian, khatib menekankan bahawa menjaga kebersihan itu hendaklah dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan kita sama ada kebersihan diri sendiri, tempat tinggal, masjid, tempat-tempat awam dan tempat makan seperti restoran-restoran dan seumpamanya.

    Tambahnya, kita bertanggungjawab untuk menjadikan tempat-tempat ibadat seperti masjid, surau dan balai ibadat sentiasa dalam keadaan bersih. Begitu juga dengan segala kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan seperti tandas atau bilik air.

    Selain itu, tempat-tempat peranginan, riadah, saliran-saliran, sungai-sungai dan lain-lain hendaklah dijaga supaya sentiasa dalam keadaan yang baik, kelihatan bersih dan tidak pula dirosakkan oleh sikap pemugut, pengotor dan tidak bertanggungjawab.

    “Sikap atau kebiasaan membuang sampah sembarangan seperti di tempat-tempat awam, sungai-sungai atau di tepi-tepi jalan termasuk melonggokkan barang-barang terpakai bukan sahaja merosakkan keindahan dan mengganggu ketenteraman awam malah menimbulkan bermacam bahaya dan kesan buruk kepada kesihatan, keselamatan dan pencemaran alam sekitar,” tegas khatib.

    Khatib seterusnya mengingatkan agar membudayakan amalan hidup bersih ini bermula dari rumah. Oleh itu, ibu bapa hendaklah membimbing dan mengajar ahli keluarga aspek kebersihan. Jadilah keluarga yang mementingkan kebersihan yang akhirnya menjadikan masyarakat dan negara yang mengutamakan kebersihan.

    Selain itu, kebersihan jasmani dan persekitaran juga perlu diperhatikan dalam pendidikan kanak-kanak. Hal ini kerana dengan adanya kebiasaan menjaga kebersihan dalam kehidupan maka ia mampu menjadi budaya.

    Dalam pada itu, khatib turut menjelaskan untuk melahirkan persekitaran hidup yang bersih dan sentiasa kelihatan menarik, maka kita hendaklah mengamalkan kesedaran terhadap kebersihan diri, tempat tinggal, tempat beribadat, tempat kerja dan seluruh tempat awam kerana agama Islam mengutamakan kebersihan dalam semua segi kehidupan.

    Kita hendaklah mengamalkan budaya tegur-menegur dan nasihat-menasihati dalam hal menjaga kebersihan dengan mengamalkan sikap tidak camah mata jika ternampak kekotoran.

    Di samping itu, kita juga sentiasa beringat agar menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaik mungkin tanpa membiarkan sampah sarap dan kekotoran bertaburan merata-rata.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...