Tuesday, April 29, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terapkan gaya hidup sihat dari usia muda

    Oleh Sim Y. H. & Nur Wasimah S.

     

    MMN Logo 2017BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Dalam usaha untuk memberikan penekanan cara hidup yang sihat bagi menangani masalah penyakit-penyakit tidak berjangkit dan kronik, lebih baik pendidikan cara hidup, amalan dan pemakanan yang sihat bermula daripada usia yang muda lagi.

    Oleh itu, jika kanak-kanak dapat diasuh dari awal untuk mengamalkan pemakanan sihat dan sentiasa melakukan kegiatan fizikal, setentunya ia akan menjadi satu tabiat yang baik bagi mereka di mana apabila mereka sudah meningkat usia, kita tidak lagi perlu memaksa mereka untuk mengamalkan pemakanan sihat iaitu tidak mengandungi tahap gula serta garam yang tinggi dan gaya hidup sihat.

    Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi ketika mengulas mengenai persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku ketua Kampung Masjid Lama Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong dan wakil Daerah Brunei dan Muara (Zon 2) mengenai pelbagai usaha Kementerian Kesihatan untuk menangani masalah penyakit-penyakit tidak berjangkit kronik.

    Melalui Multi-Sectoral Task Force For Health, Kementerian Kesihatan terus bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain terutama Kementerian Pendidikan bagi meneliti kaedah yang terbaik untuk memastikan supaya kanak-kanak dapat membudayakan cara hidup yang sihat, tambah Yang Berhormat Dato lagi ketika Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya melaksanakan beberapa kaedah untuk menerapkan budaya berkenaan antaranya adalah untuk memastikan suasana di sekolah menggalakkan kanak-kanak berkenaan untuk bergiat aktif.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain.

    Katanya lagi, pada masa ini, sebilangan besar sekolah mempunyai kawasan riadah yang baik dan usaha harus dilaksanakan untuk memastikan kanak-kanak berkenaan akan menggunakan kawasan riadah itu dengan sebaiknya.

    Beliau turut mendedahkan bahawa salah satu lagi kaedah yang dilaksanakan bersama dengan Kementerian Pendidikan adalah untuk menekankan kegiatan kempen kebersihan. Semua orang sedia maklum bahawa kebersihan memainkan peranan penting dalam kesihatan, oleh itu, selain memastikan suasana sekeliling yang bersih, menerusi kempen kebersihan juga menggalakkan mereka melakukan kegiatan fizikal.

    “Kami ingin menjadikan kegiatan itu lebih menarik bagi kanak-kanak berkenaan supaya mereka dapat membudayakan dalam diri mereka itu sendiri supaya akan memastikan bahawa sekolah itu sentiasa bersih dan menjadi tanggungjawab mereka bersama untuk menjaga kebersihan tanpa perlu harus menunggu pembersih sahaja untuk membersihkan kawasan itu.”

    Yang Berhormat Dato berharap ia akan menjadi amanah mereka untuk menjaga sekolah itu sama seperti mereka menjaga rumah mereka sendiri.

    Selain daripada itu, Kementerian Kesihatan juga telah melaksanakan Sistem Lampu Trafik bagi menggalakkan pemakanan yang sihat di mana jika makanan itu berada di dalam lampu merah, ia tidak akan dibenarkan untuk di jual di kantin sekolah, jika makanan itu berada di dalam lampu kuning ia akan dihadkan penjualannya untuk beberapa kali seminggu sahaja dan bagi lampu hijau, ia dibenarkan untuk dijual di kantin.

    Kerjasama turut dilaksanakan dengan guru-guru sekolah iaitu bagi mereka untuk memasukkan hal ehwal kesihatan dalam pengajaran mereka, tambahnya lagi.

    Yang Berhormat Dato berkata, dalam memastikan amalan gaya hidup yang sihat di kalangan kanak-kanak, ia tidak seharusnya berhenti di sekolah sahaja, tetapi pihak ibu bapa harus menjadi teladan atau contoh bagi anak-anak mereka untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

    “Jangan sampai apabila kanak-kanak ini balik ke rumah, mereka melihat kita makan berlebihan atau minum minuman manis yang berlebihan. Jadi apa yang kita laksanakan di sekolah tidak akan berjaya.”

    Oleh itu, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa kesihatan itu harus menjadi tanggungjawab untuk semua iaitu setiap individu di Brunei harus bertanggungjawab bagi kesihatan mereka.

    Sementara itu, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed juga membentangkan isu mengenai jika perkhidmatan ambulans disediakan dengan kemudahan GPS bagi memudahkan ambulan mencari rumah atau tempat yang memohon bantuan perkhidmatan berkenaan.

    Yang Berhormat Dato berkata bahawa perkhidmatan ambulans tidak dibekalkan dengan kemudahan GPS namun begitu pihaknya sedang menggunakan alternatif bagi menangani perkara itu menerusi kerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di mana kementerian berkenaan mempunyai aset-aset tertentu yang lebih canggih dari segi teknologi, iaitu perkhidmatan call and dispatch.

    “Di sana, kita boleh memantau di mana aset-aset ambulans kita berada dan jika pemandu ambulans itu kurang pasti mengenai sesuatu lokasi, melalui Pusat Call and Dispatch ini, mereka boleh membantu hala tuju lokasi yang hendak dituju.”

    Selain daripada itu, jelas beliau lagi, darip segi teknologi, kita mempunyai kemudahan GPS di dalam telefon pintar atau peranti pintar dan terdapat juga orang ramai yang menghantar lokasi mereka menggunakan kemudahan GPS berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda