Terapkan ilmu, akhlak sebagai pakaian bangsa

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) diseru untuk terus meningkatkan integrasi dalam melahirkan modal insan seorang pendidik yang berkepakaran sekali gus dapat melahirkan generasi cemerlang dalam semua aspek.

“Negara bergantung harapan kepada pendidik untuk membentuk dan melahirkan generasi cemerlang terutama dalam aspek ilmu dan akhlak mulia seperti mana yang telah diajarkan dan dibawa oleh junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sedemikian semasa berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-10 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

Titah Baginda lagi, di Negara Brunei Darussalam, kedua-dua aspek berkenaan itulah perlu diterapkan kepada para pendidik dan seterusnya menjadi pakaian bagi bangsa yang bermartabat.

“Matlamat KUPU SB ditubuhkan ialah untuk melahirkan modal insan pendidik yang berkepakaran dan ini sama juga dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) untuk melahirkan ulama.”

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan ijazah kepada salah seorang graduan.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-10 di Dewan Plenari ICC, Berakas, kelmarin.

Baginda seterusnya bertitah bahawa kedua-dua institusi agama ini telah pun melahirkan sekian ramai graduan.

Namun persoalannya, adakah mereka itu sudah boleh diiktiraf sebagai ulama?

Semua ini, tegas Baginda, banyak bergantung kepada sistem dan program pengajian, justeru sistem dan program ini perlulah sentiasa dinilai atau direbiu.

“Sekiranya graduan sarjana muda dan diploma tertinggi perguruan agama hari ini adalah keluaran dari program yang dikemaskinikan sejak tahun 2016, maka program ini mengintegrasikan antara pengalaman akademik dan perkembangan sahsiah melalui program kokurikulum.”

Jika program seperti ini dilaksanakan dengan berkesan, titah Baginda, ia sudah tentu mampu melahirkan graduan yang benar-benar berkualiti dan cemerlang meski KUPU SB memikul tanggungjawab yang berat untuk mengalas amanah ini.

“Beta mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan penjaga serta pensyarah KUPU SB
yang sentiasa memberikan sokongan dan bimbingan kepada graduan.

Kejayaan yang dianugerahkan oleh Allah ini perlu disyukuri dengan meningkatkan ketakwaan terhadapNya, titah Baginda lagi.