Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Ilmu pengetahuan mengenai bahaya api serta tatacara penggunaan alat pemadam api amat penting untuk diterapkan kepada orang ramai.
Sehubungan itu, Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah mengadakan Taklimat Keselamatan Kebakaran dan tunjuk ajar tatacara mengendalikan alat-alat pemadam api dengan betul untuk 19 orang kakitangan Hyatt Istana Nurul Iman di Balai Bomba Tumasek pada 30 Jun lalu.
Taklimat itu dihasratkan dapat menerapkan dan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran kepada semua kakitangan Hyatt.
Di samping itu, ia juga bagi memupuk rasa bertanggungjawab serta mengambil berat mengenai aspek-aspek keselamatan kebakaran.
Sementara itu, baru-baru ini, seramai 15 orang kakitangan The Abode telah mengikuti Kursus Marsyal Bomba selama tiga hari yang dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi G.
Semasa kursus tersebut, para peserta telah didedahkan mengenai penggunaan alat pemadam api dan pertolongan cemas.
Latihan pengosongan dan kebakaran juga diadakan di tempat peranginan itu yang dibantu oleh keanggotaan dan aset Balai Bomba Bangar dengan diketuai oleh Stesen Komander Balai Bomba Bangar, SO Jamaluddin bin Ahmad.
Kursus berakhir dengan penyampaian sijil oleh Pegawai Pemerintah Operasi G, SSFR Haji Afiq bin Haji Julah.
Kursus telah dijalankan dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan mengenai situasi wabak COVID yang melanda negara pada masa ini.
Sebelum kursus dijalankan, para peserta kursus telah menjalani ujian pantas antigen (ART) sebagai langkah-langkah keselamatan dan juga mengamalkan penjarakan sosial berserta sentiasa mengutamakan pemakaian pelitup muka.
Semasa kursus dijalankan, para peserta didedahkan mengenai pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal mengenai sebab dan punca berlakunya kebakaran
di samping mengetahui tindakan apabila menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara bersistematik.
Selain itu, mereka juga didedahkan mengenai tataca-ra penggunaan alat-alat pemadam api dan selimut api dengan betul serta tatacara untuk menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam bangunan apabila berlakunya kebakaran.
Para peserta juga dibawa melawat ke Balai Bomba Bangar dan mengenal perkakas-perkakas serta peralatan bomba.