Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Oleh kerana terdapatnya sebilangan orang yang masih belum faham akan penggunaan bahasa-bahasa dalam, bahasa-bahasa adat istiadat dan sebagainya, perkara tersebut telah dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim semasa sesi soal jawab pada hari ketiga Persidangan MMN, di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
“Di sana sini kita melihat melalui media-media massa, raja kitani, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat ke daerah-daerah, ke tempat-tempat samada yang berjadual ataupun lawatan tidak berjadual.
“Di sana nampak melalui siaran-siaran televisyen atau akhbar dan sebagainya, rakyat berduyun-duyun menyambut keberangkatan Baginda.
Terdapat di antara orang ramai yang menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli kadang-kadang lupa menggunakan terasul-terasul yang betul dan tepat kehadapan majlis Kebawah Duli dan juga pembesar-pembesar negara yang lain,” jelas Yang Berhormat Pehin.
Yang Berhormat Pehin mencadangkan supaya perkara tersebut dirakyatkan dan media massa seperti akhbar-akhbar dan juga Radio Televisyen Brunei harus berperanan memberigakan perkara tersebut.
“Isu terasul dan nilai-nilai adat istiadat ini patut diterapkan seawal mungkin kerana Brunei adalah merupakan satu-satunya negara Melayu yang masih kukuh dan dianggap unik di kawasan serantau dan kita harus mempertahankan adat istiadat kita itu,” tekannya.
Dalam respons mengenai isu tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud menjawab bahawa penyebaran pengetahuan adat istiadat merupakan peranan utama Jabatan Adat Istiadat Negara.
Beliau menjelaskan bahawa terdapatnya usaha-usaha dan tindakan-tindakan yang dijalankan oleh Jabatan Adat Istiadat Negara.
“Antara usaha bagi memperkasakan lagi penyebarluasan pengetahuan adat istiadat ialah menyampaikan taklimat, ceramah mengenai adat istiadat kepada pelajar-pelajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah, maktab-maktab di negara ini mengikut perancangan jadual dan permintaan,” katanya.