Terbanyak di Fortune Global 500

BEIJING, 23 JULAI – Sejumlah besar syarikat China memasuki senarai Fortune Global 500 tahun ini, mengatasi Amerika Syarikat buat kali pertama.

Negara itu menyaksikan 13 firma baharu disenaraikan dalam Fortune Global 500 tahun ini, membawa jumlah keseluruhan kepada 129 buah, lebih tinggi berbanding 121 buah syarikat dari Amerika Syarikat, menurut laman web Fortune China. Tiga firma China-Sinopec Group, China National Petroleum dan State Grid, tersenarai dalam 10 syarikat teratas.

Firma teknologi, Xiaomi yang ditubuhkan sembilan tahun lalu dan pendatang baharu dalam kelab Global 500, merupakan yang termuda dalam syarikat Fortune Global 500, disenaraikan di tangga ke-468. Enam daripada 10 firma teratas yang mencatatkan pertumbuhan paling pantas adalah dari China, termasuk Alibaba dan Tencent.

Laman web itu menyifatkan pertumbuhan firma-firma China disebabkan pasaran domestik yang lebih luas, penstrukturan semula strategi dan juga makroekonomi negara. – Xinhua