Terbuka AS kembalikan tenis kerusi roda

NEW YORK, 25 JUN – Persatuan Tenis AS (USTA) mengubah rancangannya dan kini akan memasukkan semula pertandingan tenis kerusi roda di Terbuka AS setelah atlet mengadu mengenai keputusan asal untuk menghentikan acara mereka itu sepenuhnya tahun ini.

USTA mengumumkan semalam bahawa tenis kerusi roda akan dimainkan di Flushing Meadows dari 10 hingga 13 September, empat hari terakhir kejohanan Grand Slam.

Peralihan itu berlaku selepas “beberapa pertemuan perbincangan maya dengan sekumpulan atlet kerusi roda dan Persekutuan Tenis Antarabangsa sejak minggu lalu,” kata USTA.

Sekarang akan ada kejohanan perseorangan dan beregu lelaki dan wanita dan beregu quad perseorangan.

Atlet kerusi roda boleh mengakses laman kejohanan pada 7 September nanti. Kumpulan yang mengawasi tenis di Amerika Syarikat mengakui pada Jumaat lalu mereka harus berbincang dengan atlet kerusi roda sebelum pada awalnya memutuskan untuk membatalkan pertandingan mereka di New York.

Itu berlaku dua hari selepas USTA mendedahkan rancangan operasinya untuk mengadakan Terbuka AS di tengah pandemik koronavirus, termasuk sekatan kepada pelbagai pertandingan untuk mengehadkan jumlah orang di lokasi dan melakukan pejarakan sosial yang lebih baik. – AP

Aksi Shinjo Kunieda, dari Jepun ketika membalas pukulan kepada Alfie Hewett, dari United Kingdom, semasa peringkat suku akhir perseorangan kerusi roda lelaki kejuaraan tenis Terbuka AS di New York pada kejohanan yang lalu. Persatuan Tenis AS mengubah rancangannya mengembalikan pertandingan kerusi roda di Terbuka AS. – AP