Terbuka Aussie paling mencabar – Djokovic

MELBOURNE, 21 FEB – Novak Djokovic berkata kejuaraan kesembilan Terbuka Australia diraih selepas salah satu kejohanan paling mencabar dalam kariernya, dengan kecederaan otot masih ‘belum sembuh’ dan kritikan daripada pihak media dan orang ramai.

Walaupun mengharungi cabaran tersebut, pemain nombor satu dunia berjaya menghidu ancaman dari pemain Rusia, Daniil Medvedev 7-5, 6-2, 6-2 untuk mengukuhkan statusnya sebagai raja Melbourne Park dan merangkul kejuaraan Grand Slam ke-18.

Tetapi terdapat beberapa rintangan yang perlu diatasi, bukan setakat menjalani pengasingan diri selama 14 hari tetapi reaksi negatif terhadap surat yang ditulisnya kepada Tenis Australia sebelum kejohanan di mana diterjemahkan sebagai ‘merungus dan pentingkan diri’.

“Saya rasa dari segi emosi ia adalah salah satu kejohanan paling mencabar pernah saya hadapi, sejujurnya,” kata pemain pilihan utama Serbia memberitahu wartawan hari ini.

“Kami menjalani kuarantin dan banyak perkara berlaku di media, kemudian surat yang saya tulis sebagai idea dan cadangan yang saya ada sebagai pemain disalah ertikan dianggap senarai permintaan. Selepas itu saya menjadi seseorang yang tidak diingini di negara ini.

“Jadi ia sangat sukar untuk menangani dengan semua perkara itu dan kemudian mengalami kecederaan di pusingan ketiga,” tambahnya mengenai kecederaan abdomen yang hampir memaksanya untuk menarik diri.

“Ia adalah pengalaman tidak menentu. Saya rasa ia menjadikannya lebih manis buat saya dan banyak perkara positif dari kejohanan ini tanpa diragukan lagi.”

Jurulatih Djokovic, Goran Ivanisevic berkata kritikan terhadap Djokovic adalah tidak adil.

“Sebenarnya dia sangat memerlukan kemenangan ini. Ada pihak yang menyaksikan semua ketidakadilan ini dengan banyak tumpuan media diberikan dan kritikan daripada orang ramai,” katanya.

“Dia cuba membantu pemain,” tambahnya. “Sekali lagi, ia hanya dia seorang. Itu kesilapannya. Seperti orang lain mengecamnya. Tiada sesiapa yang hendak dikecam, jadi mari kecam Novak.”- AFP

Reaksi Novak Djokovic meraikan trofi selepas menewaskan Daniil Medvedev di final Terbuka Australia, kelmarin. – AP