MELBOURNE, 15 Jan – Juara tujuh kali Grand Slam, Venus Williams tersingkir daripada Terbuka Australia apabila tewas kepada pemain berusia 20 tahun Switzerland, Belinda Bencic sebentar tadi.
Pilihan kelima itu yang juga finalis tahun lalu, dikejutkan 6-3, 7-5 pada pusingan pertama oleh pemain nombor 78 dunia itu dalam masa bawah dua jam di Rod Laver Arena.
Ia bermakna buat kali pertama sejak 1997, tiada adik beradik Williams pada pusingan kedua di Melbourne Park selepas Serena menarik diri berikutan baharu melahirkan anak perempuan.
Kali terakhir ia terjadi, Steffi Graf berkedudukan nombor satu dunia dan Bencic masih berusia dua bulan ketika itu.
Bencic, yang tewas kepada Serena pada peringkat sama tahun lalu, berkata selepas dia melihat undian, dia bersedia untuk berdepan lawan yang sukar.

“Saya lebih suka menentang seseorang yang lebih mudah,” katanya.
“Ketika saya masih kecil dan menonton televisyen, saya tidak pernah terbayang akan bermain dengan mereka.”
Tiada tanda-tanda drama sehingga permainan ketujuh apabila bekas pemain nombor tujuh dunia, Bencic yang mendapat kembali prestasinya selepas menang acara berpasukan Piala Hopman di Perth ketika berpasangan dengan Roger Federer, mematahkan servis Williams.
Dia kemudian terpaksa bertahan apabila pemain Amerika Syarikat itu cuba bangkit dengan menyelamatkan lima mata sebelum hujan menyebabkan kelewatan 20 minit selepas bumbung di Rod Laver Arena ditutup. Bencic, yang membuat kemunculan pertama Jelajah WTA ketika berusia 14 tahun berdepan Williams di Luxembourg pada 2012, tidak pernah menewaskan juara tujuh kali Grand Slam itu dalam empat pertemuan sebelum ini.
Dalam aksi seterusnya, pemain nombor dua dunia Caroline Wozniacki, yang kalah kepada Goerges dalam penentuan di New Zealand itu, bermain pada hari ini, bersama pemain pilihan utama lelaki, Rafael Nadal.
Juara Grand Slam 16 kali, Nadal menegaskan dia merasa baik meskipun mengalami kecederaan lutut dan bersedia untuk melanjutkan kemaraannya dalam kejohanan ini yang dia hanya menang sekali – pada tahun 2009 – di antara kejayaan besarnya.
“Ini keadaan yang baru bagi saya. Tetapi saya rasa baik,” kata pemain berusia 31 tahun itu, yang pertama kali bermain di Melbourne Park pada tahun 2004. – AFP