Terbuka AS bakal ditangguhkan

LOS ANGELES, 27 MAC – Kejohanan golf Terbuka Amerika Syarikat (AS), yang dijadualkan akan diadakan pada pertengahan Jun ini, berkemungkinan besar akan ditangguhkan, media AS melaporkan semalam.

Kejohanan itu yang akan diadakan pada 18 hingga 21 Jun di Kelab Golf Winged Foot di Mamaroneck, New York berada dalam bahaya dan kini Persatuan Golf AS (ASGA) berharap dapat mengadakan kejohanan itu pada musim panas, lapor New York Post. Tarikh baharu itu bergantung kepada bagaimana kawasan New York bakal pulih dari pandemik COVID-19.

Padang golf itu kini ditutup minggu lalu apabila gabenor New York, Andrew Cuomo mengeluarkan perintah berkurung yang menghentikan semua perniagaan sebagai tindak balas bagi membendung wabak COVID-19.

Pengarah kanan komunikasi kejohanan USGA, Beth Major memberitahu semalam, “Tidak ada keputusan yang rasmi pada ketika ini.

“Sudah tentu, kita bercakap mengenainya, mengetahui apa yang berlaku di New York yang sedang mereka hadapi, kes paling terbanyak di negara ini sekarang.”

USGA berkata sebelum ini ia berharap dapat membuat keputusan mengenai Terbuka AS pada pertengahan April.

Dua kejohanan besar pertama musim ini, The Masters dan Kejohanan PGA, telah ditunda.

Jelajah PGA ditutup pada 13 Mac lalu, selepas pusingan pertama Kejohanan Players.

Pada masa ini, semua pertandingan yang dijadualkan diadakan pada pertengahan Mei telah ditangguhkan atau dibatalkan. – AFP

Para pemain golf mengamalkan penjarakkan sosial di Kelab Golf Windsor Parke di tengah-tengah wabak COVID-19 pada 25 Mac lalu, di Jacksonville Beach, Florida. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik global pada 11 Mac lalu. – AFP