Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Terbuka Perancis ditunda sehingga September

    PARIS, 18 MAC – Kejohanan Terbuka Perancis telah ditangguhkan berikutan wabak koronavirus (COVID-19) dan akan ditunda ke 20 September hingga 4 Oktober, kata penganjur.

    Acara Grand Slam yang sepatutnya berlangsung pada 24 Mei hingga 7 Jun, tetapi penganjur berkata “mengikut situasi dan keadaan sekarang tidak mungkin untuk kami meneruskan persediaan kami dan, oleh itu, kami tidak dapat mengadakan kejohanan pada tarikh asalnya yang dirancang.”

    Tarikh-tarikh baharu itu bermakna kejohanan itu akan bermula hanya seminggu selepas Terbuka Amerika Syarikat, jika acara itu masih dalam slot yang dijadualkan.

    “Seluruh dunia terjejas oleh krisis virus COVID-19. Bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua orang yang terlibat dalam menganjurkan kejohanan itu, Persekutuan Tenis Perancis (FTT) telah membuat keputusan untuk mengadakan edisi 2020 Roland-Garros pada 20 September hingga 4 Oktober 2020,” menurut satu kenyataan.

    “Untuk bertindak secara bertanggungjawab dan melindungi kesihatan pekerja, pembekal perkhidmatan dan pembekal organisasi, FFT telah memilih satu-satunya pilihan yang akan membolehkan mereka mengekalkan edisi 2020 sementara berjuang menentang COVID-19.”

    Presiden FFT, Bernard Giudicelli berkata “Kami telah membuat keputusan yang sukar tetapi berani dalam keadaan yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang telah berkembang sejak hujung minggu lalu. Kami bertindak secara bertanggungjawab dan harus bekerjasama dalam usaha untuk memastikan kesihatan dan keselamatan semua orang.” – AFP

    Gelanggang tenis Simonne Mathieu yang baharu selepas upacara perasmiannya di Roland-Garros di Paris. Kejohanan Terbuka Perancis Roland Garros ditangguhkan pada 20 September hingga 4 Oktober 2020 berikutan penularan COVID-19. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda