Terbuka Perancis, Terbuka BMW Antarabangsa dibatalkan

LONDON, 19 APRIL Jelajah Eropah mengumumkan pembatalan kedua-kedua Terbuka Perancis dan Terbuka BMW Antarabangsa di Munich disebabkan oleh pandemik koronavirus, dengan Terbuka Scotland telah ditunda.

Terbuka Britain, satu-satunya kejohanan utama yang dimainkan di luar Amerika Syarikat, telah dibatalkan, dengan jelajah utama telah digantung sejak 13 Mac.

Kejohanan terakhir yang telah berjaya dihabiskan Jelajah Eropah adalah Qatar Masters, yang berakhir pada 8 Mac.

Terbuka Perancis, kejohanan Terbuka tertua di benua Eropah, yang dijadualkan diadakan dari 2 hingga 5 Julai, telah dibatalkan selepas kerajaan Perancis menyambung larangan semua jenis perkumpulan sehingga pertengahan bulan Julai.

Kejohanan BMW di Munich telah dijadualkan pada 25 hingga 28 Jun.

“Kedua-dua Jerman dan Perancis telah dilanda impak koronavirus, dan kami sangat bersimpati terhadap kedua-dua buah negara itu, dan juga di seluruh dunia,” kata ketua Jelajah Eropah, Keith Pelley.

Terbuka Scotland, yang selalunya menjadi kejohanan pemanas badan bagi Terbuka Britain, bakal mengambil tempat pada pertengahan Julai.

“Perbincangan mengenai kemungkinan perubahan jadual bagi kejohanan akan diteruskan dan kami melihat senario berbeza bagi jadual bila ia selamat untuk disambung semula,” tambah Pelley. – AFP

Reaksi Nicolas Colsaerts ketika memenangi Terbuka Perancis pada tahun 2019. Jelajah Eropah mengumumkan pembatalan Terbuka Perancis dan Terbuka BMW Antarabangsa disebabkan oleh pandemik koronavirus. – AP