Tercicir sekolah tidak halang Dumba kuasai Bahasa Cina

KAMPALA – Dumba Tusiime, 33, berhenti sekolah ketika menuntut di sekolah menengah tingkat dua setelah dia gagal membayar yuran pengajian.

Demi kelangsungan hidupnya, dia sanggup melakukan pelbagai kerja jalanan yang ganjil di bandar Masaka, tengah Uganda.

Salah satu pekerjaan yang dilakukannya adalah menghantar penumpang menggunakan motosikal, yang biasanya dikenali sebagai boda boda di sini. Dia mengangkut semua jenis orang dan di antaranya termasuk orang Cina.

Setiap kali dia menghantar pelanggan Cina, ia mengingatkannya pada filem Kung-Fu Cina masa kecilnya. Dia bermimpi bertutur dalam Bahasa Cina suatu hari nanti.

“Saya selalu ingin mendapatkan peluang di mana saya dapat berhubung dengan orang-orang Cina dan mendapat peluang untuk bekerja dengan mereka serta belajar bahasa mereka,” kata Dumba kepada Xinhua.

Salah seorang pelanggannya dari China memperkenalkannya dengan sebuah firma milik orang Cina di ibu kota Kampala di mana dia mendapat pekerjaan sebagai pemandu. Namun, bahasa terus menjadi masalah bagi Dumba.

Setelah beberapa lama, Dumba memutuskan untuk mendaftar di Confucius Institute of Makerere University untuk mempelajari Bahasa Cina.

Berikutan berhenti sekolah, Dumba tidak pasti bagaimana pelajar di institut itu akan menyambutnya.

“Saya tidak pasti sama ada pelajar bebas berinteraksi dengan saya. Tetapi saya disambut dan disayangi oleh pelajar dan guru ketika saya melaporkan diri di sana,” katanya.

Setelah beberapa bulan menghadiri kelas, Dumba mula menyempurnakan penguasaannya dalam Bahasa Cina.

Dia menduduki peperiksaan Ujian Kemahiran Cina HSK3 dan HSKK dan kemudian memperoleh biasiswa pengajian Bahasa Cina selama satu tahun di Universiti Xiangtan dengan ihsan Institut Confucius.

Semasa di Xiangtan, Dumba jatuh cinta dengan budaya dan nilai-nilai Cina. Dia mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti kurikulum tambahan seperti menyiapkan hidangan Cina, lagu, dan perlumbaan maraton.

Dia menggambarkan masa di Universiti Xiangtan sebagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Musim sejuk adalah salah satu masa yang sukar di Xiangtan, menurut Dumba. Rakan-rakannya yang berbangsa Cina bagaimanapun membantunya untuk menyesuaikan diri dengan musim sejuk yang menjadikan hidup lebih mudah.

Dumba berhasrat mengikuti lebih banyak kursus untuk memperoleh kelayakan lebih lanjut dalam Bahasa Cina.

“Saya ingin menolong ramai orang muda untuk belajar Bahasa Cina kerana saya menyedari terdapat banyak peluang di negara saya. Dengan penubuhan kilang dan pusat pelancongan China, akan ada peluang untuk penterjemah dan pekerja yang bebas berinteraksi dalam Bahasa Cina,” kata Dumba. – Xinhua

Dumba Tusiime menunjukkan sijil anugerah di di Confucius Institute of Makerere University di Kampala, Uganda. – Xinhua