Terdapat cubaan rampas peralatan kesihatan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Terdapat percubaan beberapa orang dan kerajaan lain merampas peralatan kesihatan yang ditempah awal oleh Negara Brunei Darussalam namun ia berjaya diselamatkan.

Usaha mengelak barangan keperluan kesihatan ini daripada dirampas berjaya selepas kerajaan dengan bantuan dan kerjasama pihak berkuasa menghindar kejadian dan mendapatkan semua peralatan perubatan yang diperlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar bawah) menjelaskan perkara itu pada sesi soal jawab Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Beliau menjelaskan dua minggu lalu, Brunei cuba membawa peralatan perubahan baharu melalui rakan kongsi yang bekerjasama dengan kerajaan, namun ia dirampas beberapa kerajaan lain keesokannya.

“Kami mencuba sekali lagi dan berjaya mendapatkan jumlah peralatan kesihatan yang diperlukan, namun ia dirampas lagi buat kali kedua.

“Hanya kali ketiga kami berjaya menyelamatkannya selepas berusaha dengan pihak berkuasa dan untuk memastikan ia tidak dirampas lagi, rakan kongsi kami menghantar pekerja mereka untuk duduk dan tidur di kilang berkenaan, supaya tiada siapa yang boleh mencuri barang-barang tersebut.

“Alhamdulillah, dengan semua peralatan lain yang kami ingin bawa, kami menghantar penerbangan Royal Brunei (RB) ke bandar berkenaan bagi membawa semua peralatan tersebut.

Dan pada dua minggu yang lalu, kami berjaya membawa semuanya ke Brunei,” jelas Yang Berhormat Dato.

Pada penilaian pagi ini dan selepas memperoleh beberapa peralatan yang diperlukan, Yang Berhormat Dato menyatakan pihak kerajaan sudah agak selesa apabila lengkungan graf jangkitan COVID-19 merata dan tiada kes baharu direkodkan hari ini.