Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Terengganu FC II benam Selangor FC

    KUALA LUMPUR, 16 OGOS – Terengganu FC II berjaya mencatatkan kemenangan kesembilan dalam saingan Liga Premier selepas menundukkan Selangor FC 2, 2-0, di Stadium UiTM, di sini, malam ini.

    Skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu membuka jaringan pertama seawal minit ketujuh menerusi rembatan kencang Muhammad Izzan Syahmi Mustapa.

    Mohammad Rahmat Makasuf kemudian mengukuhkan kedudukan apabila menjaringkan gol kedua Terengganu FC II pada minit ke-50.

    Selangor FC 2 mensia-siakan beberapa peluang pada separuh masa kedua apabila serangan barisan penyerang tidak menepati sasaran dan gagal membolosi gawang Terengganu FC II.

    Sementara itu, Kelantan United (KUFC) memperoleh kemenangan bergaya apabila membenam UiTM FC 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru.

    Skuad, yang diberi jolokan Kijang Hijau itu, memperoleh gol pertama seawal minit ke-15 perlawanan menerusi pemain import, Njoku Jacob selepas menerima hantaran jauh dari rakan sepasukan ke dalam kotak penalti dan dengan mudah menolak bola ke gawang pasukan UiTM FC.

    Bersambung babak kedua, pasukan kendalian Syamsul Saad tersebut menambah jaringan menerusi Muhammad Haziq Mohd Subri pada minit ke-50 yang menyambar hantaran lintang Mohammad Amirul Shafik Che Soh dalam kotak penalti UiTM.

    Bagaimanapun, pemain gantian Muhammad Izman Solehin berjaya menghadiah gol pertama UiTM pada minit ke-70 melalui percubaan luar kotak penalti menewaskan penjaga gol KUFC, Mohammad Fikri Che Soh. – Bernama

    Muhammad Izzan Syahmi Mustapa (tiga, kiri) menjaringkan gol pertama bagi pasukan Terengganu FC 2 pada perlawanan Liga Premier Malaysia 2022 menentang Selangor FC 2 di Stadium Universiti Teknologi Mara, kelmarin. – Bernama

     

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...