Terengganu FC, Selangor FC lepasi halangan saingan kumpulan

KUALA LUMPUR, 4 NOV – Finalis 2018, Terengganu FC (TFC) mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia dengan bergaya selepas membelasah Perak FC 4-0 pada aksi keempat Kumpulan B di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Umpama pertembungan ulangan peringkat akhir kejohanan berprestij itu pada edisi 2018, namun perlawanan malam ini membuktikan Perak FC yang mengalami kemerosotan prestasi musim ini jelas bukan tandingan skuad tuan rumah yang mendominasi 90 minit perlawanan.

Skuad bimbingan Mohd Nafuzi Zain berjaya mendahului 3-0 dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan apabila hanya memerlukan 13 minit untuk membuka akaun gol menerusi rembatan kencang Makan Konate dari jarak jauh diikuti jaringan kedua pasukan oleh David Da Silva berselang enam minit.

Dechi Marcel menceriakan kira-kira 4,200 penyokong tuan rumah di stadium dengan gol ketiga pasukan pada minit ke-26 sebelum skuad Bos Gaurus terlepas peluang keemasan untuk merapatkan jurang apabila percubaan Royizzat Daud pada minit ke-29 berjaya diselamatkan penjaga gol. – Bernama