Teresa: Akta Wakilan EU jejaskan kehidupan pekebun

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Menteri Industri Utama Teresa Kok membidas Akta Wakilan Kesatuan Eropah (EU) yang mengklasifikasikan minyak sawit sebagai ‘berisiko tinggi’ dengan menyifatkannya sebagai mendiskriminasi ekonomi negara membangun yang akan menjejaskan kehidupan pekebun kecil.

Negara pengeluar minyak sawit, termasuk Malaysia, katanya secara konsisten telah menggariskan fakta bahawa Akta Wakilan itu didasari faktor yang tidak tepat dan berbentuk diskriminasi.

“Akta itu mendiskriminasi ekonomi negara membangun di Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin yang menghasilkan minyak sawit, dan ia dirancang untuk menyusahkan kehidupan berjuta-juta petani kecil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kok berkata keseluruhan proses Akta Wakilan ini tidak berasaskan sains biobahan atau sains penebangan hutan, sebaliknya berasaskan politik properlindungan. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menurutnya, menjelaskan bahawa jika akta itu diterima pakai, Malaysia akan bertindak terhadap eksport Eropah untuk menangani tindakan perlindungan agresif itu.

Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara rakan kongsi Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit bagi menangani isu tersebut di Pertubuhan Perdagangan Dunia.

Teresa Kok Suh Sim (dua kiri) ketika menyertai Menteri Perdagangan Dan Industri Norway, Thorbjorn Roe Isaksen (kanan) melawat ladang kelapa sawit Sime Darby Plantation di Pulau Carey pada 25 Februari lepas. – Bernama

Kementerian telah menghantar delegasi untuk bertemu pegawai EU dan mengemukakan hujah negara dan kedudukan tindakan yang dicadangkan, awal bulan ini.

“Akta Wakilan EU bermatlamat memperkaya petani Barat dengan mengorbankan petani Malaysia.”

Kok berkata keputusan itu mengetengahkan sikap diskriminasi EU memandangkan langkah yang sama tidak diambil ke atas minyak kacang soya, walaupun kajian kesatuan itu sendiri membuktikan kacang soya menyumbang lebih besar kepada penebangan hutan.

“Minyak sawit menghasilkan lapan kali lebih banyak minyak daripada minyak soya AS bagi setiap hektar, namun Suruhanjaya Eropah mengklasifikasikan kacang soya sebagai ‘berisiko rendah’ atas alasan politik,” katanya.

Beliau juga kesal terhadap keputusan oleh EU yang mendefinisikan pekebun kecil sebagai pemilik kepada dua hektar kawasan ladang berbanding cadangan dua hingga lima hektar yang dimasukkan dalam draf akta berkenaan.

“Keputusan suruhanjaya Eropah untuk menghentikan penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api di Eropah atas dasar minyak sawit menyebabkan penebangan hutan, adalah tidak berasas.” – Bernama