Penulis ingin menyuarakan kekecewaan terhadap trend yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat sekarang terutama lingkungan kawan, yang sering kali merendahkan dan menormalkan gurauan berkaitan dengan penampilan fizikal seseorang (body shaming).
Kelakuan menghina fizikal seseorang tidak mencerminkan budaya orang Timur yang terkenal dengan rasa hormat dan sopan dalam tingkah laku.
Apa lagi dari segi agama, Islam melarang umatnya daripada menghina sesama ciptaan yang Allah jadikan.
Perbuatan sedemikian amat memberi kesan negatif kepada kesejahteraan emosi dan mental individu tersebut.
Penulis juga menekankan perlunya memupuk budaya hormat dan empati dalam masyarakat serta menentang kebiasaan gurauan yang melecehkan penampilan seseorang.
Penulis juga khuatir dengan kecen-derungan beberapa pihak yang menganggap remeh isu itu dan menormalkan gurauan yang tidak sensitif terhadap perasaan individu.
Sebagai masyarakat yang semakin matang dan bertanggungjawab, kita sepatutnya lebih peka terhadap kesan kata-kata dan tindakan kita terhadap orang lain.
Penulis berharap agar pihak-pihak yang terlibat terutama ibu bapa, rakan, saudara-mara, guru-guru, ketua dan sebagainya dapat mengambil berat isu tersebut dan menilai kesannya secara serius serta mengubah cara berinteraksi agar kita dapat membina masyarakat yang lebih bermaruah dan beradab.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama memupuk budaya hormat dan menghargai setiap individu tanpa mengira penampilan fizikal mereka. Semoga kita dapat menjadi contoh baik bagi generasi akan datang.
Good Vibes
