Terhad sehingga 28 Julai ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Jabatan Penerbangan Awam mema-klumkan orang ramai mengenai pengisytiharan ruang udara terlarang di negara ini bermula hari ini hingga 28 Julai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, kawasan-kawasan yang dimaksudkan meliputi kawasan dalam lingkungan 3 batu nautika (5.56 kilometer) dari Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, Bandar Seri Begawan pada 14 Julai, Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada 15 dan 28 Julai, Istana Nurul Iman pada 15 Julai, Padang Bandaran, Kuala Belait pada 20 Julai, Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Temburong pada 22 Julai, Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Tutong pada 24 Julai, Tatangan Persiaran Sungai Tutong pada 27 Julai dan Jerudong Park Amphitheatre pada 28 Julai.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa dengan pengisytiharan berkenaan, operasi udara hanya terhad kepada pesawat-pesawat tertentu yang dibenarkan sahaja dengan larangan berkenaan termasuk pesawat udara kawalan jauh dan dron.

Jabatan Penerbangan Awam telah mengeluarkan notis-notis kepada pengendali-pengendali pesawat udara atau notice to airmen (NOTAM) mengenai penutupan ruang udara melalui saluran maklumat aeronautik pada 11 Julai.

Menurut kenyataan itu, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara berkenaan boleh berhubung terus dengan ketua Bahagian Regulatori, Jabatan Penerbangan Awam di talian 2331065 atau 2330142 sambungan 1110, e-mel: info.dca@civil-aviation.gov.bn Jabatan Penerbangan Awam juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kerjasama dan mematuhi pengisytiharan berkenaan.