Terharu golongan bujang juga terima Pakej PRIHATIN

KUCHING, 29 MAC – “Keluarga kami juga macam keluarga Makcik Kiah… saya sebagai orang bujang dapat RM800, ayah pesara kerajaan dapat RM500, adik yang sedang belajar di universiti dapat RM200”.

Selain itu, Muhammad Nasrun Zaidi, 21, berkata ibunya yang menjual makanan di kantin sekolah juga mendapat faedah daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Jumaat.

Pakej yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat itu adalah bagi meringankan beban rakyat dan industri termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran ketika wabak COVID-19 yang menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rangkaian penularan
virus itu.

Pakej PRIHATIN berjumlah RM250 bilion, yang peduli rakyat, itu akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban semua dengan tiada golongan yang akan tercicir.

Muhammad Nasrun berkata, ibunya dikecualikan daripada membayar sewa kantin selama enam bulan, manakala pengumuman moratarium daripada Bank Negara melibatkan bayaran ansuran bulanan kereta dan rumah juga banyak melegakan keluarganya. – Bernama