Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Battle Pro Event, Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah menerima Anugerah Keusahawanan Sosial Belia ASEAN (AYSEA) di mana beliau dinamakan oleh Negara Brunei Darussalam sebagai penerima anugerah yang disampaikan pada majlis khas semasa Persidangan dan AYSEA 2017 di Manila, Filipina pada 6 hingga 8 Ogos lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Agung bagi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN, Vongthep Arthakaivalvatee.
Delegasi Negara Brunei Darussalam ke majlis anugerah dan persidangan berkenaan diketuai oleh Awang Faisal bin Yunus, penerima Anugerah AYSEA, Haji Syed Mohd Yassin dan peserta persidangan, Haji Mohd Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan.
Menurut kenyataan itu lagi, Persidangan dan AYSEA 2017 dengan tema Mobilizing Impactful Disruption, julung-julung kalinya diadakan bersempena memperingati Ulang Tahun ke-50 ASEAN.
Anugerah itu dihasratkan untuk memberikan pengiktirafan kepada usahawan sosial belia daripada negara-negara ahli ASEAN yang telah berjaya membawa perubahan serta memberikan impak positif dalam masyarakat.
Kenyataan itu menjelaskan lagi bahawa persidangan berkenaan mengetengahkan topik-topik berhubung kepentingan keusahawanan sosial dalam konteks ASEAN serta memberi peluang kepada penerima-penerima anugerah khususnya dan para delegasi untuk berkongsi pengalaman dan pencapaian masing-masing melalui panel diskusi dan bengkel.