Terima ganjaran

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Sembilan orang atlet, dua orang jurulatih, seorang penolong jurulatih dan dua buah persatuan sukan kebangsaan telah menerima Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) pada majlis yang berlangsung di Bilik VIP, Tingkat I, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang sekali gus menyampaikan ganjaran kemenangan kepada para atlet, jurulatih dan wakil persatuan sukan kebangsaan.

Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku pengerusi majlis menjelaskan bahawa jumlah keseluruhan ganjaran kemenangan yang dianugerahkan ialah sebanyak $53,445 dengan kutipan keseluruhan iaitu tiga pingat emas, tujuh perak dan empat gangsa daripada ketiga-tiga kejohanan termasuklah penganugerahan biasiswa kepada para atlet.

Menurut beliau lagi atlet yang menerima ganjaran tertinggi ialah atlet daripada Sukan Boling Padang iaitu Hajah Amalia binti Haji Matali yang menerima ganjaran kemenangan sebanyak $7,000 atas kejayaan beliau meraih satu pingat perak di World Singles Championship of Champion 2016, Queensland, Australia.

Manakala bagi kategori jurulatih pula, ganjaran tertinggi dianugerahkan kepada jurulatih Boling Para bagi Kejohanan Micron Singapore World Para Bowling Tour Series 2018, Awang Athery bin Haji Abdul Samad, menerima ganjaran sebanyak $4,100.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyampaikan biasiswa kepada atlet wusyu untuk melanjutkan pelajaran tinggi di dalam negeri, kelmarin. – Muiz Matdani

Seterusnya, Majlis Paralimpik Kebangsaan Brunei Darussalam pula diumumkan sebagai persatuan sukan kebangsaan yang dianugerahkan dengan ganjaran tertinggi $4,100 menerusi kejayaan yang dicapai oleh para atlet mereka di kejohanan Micron Singapore World Para Bowling Tour Series 2018, Singapura.

Skim Ganjaran Kemenangan tersebut dianugerahkan adalah seperti yang terkandung dalam Dasar Sukan Negara yang diperkenalkan pada 1991 untuk kemudahan insentif kepada para atlet yang meraih kecemerlangan. Skim tersebut turut dihasratkan sebagai dorongan agar sentiasa terus menyumbangkan komitmen kepada negara menerusi pencapaian pingat pada kejohanan yang diadakan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Skim ganjaran ini juga diberikan kepada para jurulatih sukan atas sumbangan serta penglibatan mereka dalam perkembangan dan kemajuan dalam latihan mengikut Dasar Sukan Negara.

Para penerima ini adalah terdiri daripada para atlet sukan Boling Para dan Boling Padang yang telah berjaya meraih pingat di Micron Singapore World Para Bowling Tour Series 2018 pada 25 Februari hingga 02 Mac 2018 di Singapura; 12th Asian Lawn Bowls Championship 2017 pada 3 hingga 10 Oktober 2017 di New Delhi, India dan World Singles Champions of Champions 2016 pada 14 hingga 20 November 2016 di Queensland, Australia.

Manakala atlet wusyu turut dianugerahkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran tinggi dalam negeri.

Sukan-sukan yang menerima ganjaran kemenangan SPKS adalah sukan Boling Para bagi kejohanan Micron Singapore World Para Bowling Tour Series 2018 berjumlah $29,725; sukan Boling Padang bagi kejohanan 12th Asian Lawn Bowls Championship 2017 berjumlah $8,400; pemberian Biasiswa Atlet Wusyu untuk melanjutkan Pelajaran Tinggi Di Dalam Negeri berjumlah $2,120 dan sukan Boling Padang bagi kejohanan World Singles Champions of Champions 2016 berjumlah $13,200.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Jawatankuasa SPKS dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan serta para ibu-bapa.