AISYA tekun melakukan tugasnya. Menekan butang-butang aksara, teliti menyusun ayat di atas keyboard komputer. Surat yang diarahkan oleh bos tempatnya bekerja harus disiapkan segera. Dia tidak mahu bertangguh walaupun masih punya banyak masa. Kepercayaan yang diberi kepada orang sepertinya tidak boleh dikhianati. Ia satu amanah. Dan…pejabatnya bukan macam pejabat orang lain. Banyak benar gangguan yang harus dihadapi.
Sebagai wanita yang mempunyai keayuan dan kelembutan ditambah pula dengan budi bahasa yang terpuji, sudah tentu dia menjadi bahan usikan. Lebih-lebih lagi dia adalah gadis yang mempunyai kekurangan. “Ehem…ehem…tak payah rajin sangatlah Aisya. Bukan dapat gaji lebih pun. Awak tu bukan macam saya yang ada kelayakan dan kepakaran. Educated…Very Important Person…Most wanted. Tengok saya ni. Gaji? huh, jangan ceritalah. Bos terpaksa ikut permintaan saya. Banyak syarikat cari saya. Bila-bila masa saya boleh berhenti. Kalau saya blah, bos sakit kepala…ha ha ha.
Aisya beristighfar. ‘Ahh…si jahanam itu dah datang. Sombongnya. Bongkak betul. Bukan aku tanya pun semua tu’, bisik hati kecilnya. Rasa meluat dipendam saja. Jangan dibesarkan lagi. Sabar. Perasaan benci jangan disiram dengan api. Jadi sahaja seperti air yang dingin dan mendamaikan. Aisya tetap kelihatan tenang seperti sebuah tasik yang sepi.
Menyedari dirinya tidak dilayan, api di dada Firhan semakin menyala. “Hei Aisya, Awak dengar tak ni.! Tak pernah lagi orang perempuan tak layan saya tau. Sejuk dingin macam ais batu cap kutub bila tengok saya! Awak tengok ni. Body saya cukup sempurna. Perfect!, six pax!”. Firhan menunjukkan pangkal lengannya yang berketul, keras pejal. “Lengkap dengan package handsome lagi. Awak tau inilah imej pujaan semua wanita,” tokok lelaki bertubuh sasa itu lagi.
Ya, Aisya tahu Firhan memang seorang yang segak, kacak. Menjadi kegilaan para gadis. Dia, lelaki yang mementingkan penampilan dan personaliti. Dia tahu Firhan sering ke gym untuk body fitness. Lelaki yang sangat ta’asub dengan penjagaan kesihatan dan kecantikan. Aisya tidak menoleh. Masih tekun dengan kerjanya. Sering saja Aisya berhadapan dengan situasi seperti itu. Usikan dan gangguan kaum lelaki terutama Firhan yang letih untuk ditepis. “Hei Aisya, bercakap pasal sempurna, adakah awak kecewa dan putus asa dengan keadaan diri awak sekarang? Cacat. Susah nak buat semua benda,” Firhan masih mahu menguji gadis itu.
Air tasik yang damai, akhirnya berkocak jua bila sering ditiup angin. “Tidak! tidak sekali-kali. Saya tidak pernah menjadi orang yang kecewa apatah lagi berputus asa. Perkara yang buruk dan dahsyat adalah berputus asa dari Rahmat Allah. Saya yakin dan percaya ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian Allah. Ingat Firhan, janganlah kita tergolong dalam orang-orang yang kufur akan nikmatNya. Susah atau senang semua adalah ujianNya. Kesempurnaan itu milik Allah. Kita sebenarnya tak punya apa-apa. Nikmat itu hanya pinjaman, bila-bila masa boleh ditarik semula.”
“Ha ha, ha ayat klise. Ayat nak control line. Saya tau sangat perempuan macam awak ni. Tiap-tiap malam saya berdamping dengan perempuan. Awak tau, saya suka ratah daging mentah tau,” bisik Firhan. “Dah gila agaknya jantan sekor ni. Ratah daging mentah?” ujar Aisya perlahan, kehairanan. Dahinya berkerut.
“Ya…ha ha ha…saya suka ratah ‘daging’ muda yang empuk, pejal dan gebu. Daging perempuan yang suka jual ‘daging’mereka sendiri. Semuanya untuk duuuuiiit! Tapi tak mengapa, duit saya memang untuk mereka. Mereka nak, saya beri. Apa yang saya nak, mereka beri. Ada pi, ada mai…itulah yang dinamakan konsep give and take…ha ha ha.”
“Astaghfirullah halazim,” Aisya beristighfar berulang kali. Ya Allah lindungilah aku dari tipu daya syaitan,” bisik hati kecilnya.
“Hah…Aisya, awak apa tau. Awak tak akan ke mana-mana. Tak akan bergerak jauh. Duduklah bercinta dengan wheel chair buruk awak tu. Saya rasa kalau awak tu boleh berjalan, awak tu pun serupa macam alat permainan saya, perempuan tunggangan saya…ha ha ha.
“Firhannn! Nauzubillah himinzalik,” Aisya menekup telinganya. Kerjanya tergendala. Matanya merah berair. Kejam betul tohmahan dan kejian si Firhan. Anak Dato’ yang mempunyai jawatan dan kedudukan tinggi di dalam syarikat tempatnya mencari nafkah beberapa bulan yang lalu. Buruk betul perangainya. Aisya tidak mahu membesarkan perkara itu walaupun itu sudah dikira gangguan seksual. Dalam hal itu Firhan tetap menang. Dia ada segalanya. “Oh, ustazahku sayang! bimbinglah saya,” perli Firhan sambil berlalu dengan jelingan menggoda.
Hari berlalu. Hidup di kota waktu terasa bergerak pantas. Kerja tidak akan habis sehingga dunia kiamat atau manusia itu menutup mata buat selamanya.. Aisya menolak roda wheel chairnya dengan cermat dan berhati-hati menghampiri pintu lif. Dia menekan butang 18, di mana pejabatnya berada. Sementara menunggu pintu lif terbuka, dia merenung kedua kakinya yang lemah, lumpuh sejak kecil. Ujian Allah yang diterima dengan hati yang senang dan lapang.
Dan ketika dia sudah masuk ke dalam perut lif dan pintu lif hampir tertutup, muncul kelibat Firhan, menahan dan sempat pula meloloskan diri turut masuk ke dalam lif. Tubuh Aisya menggigil. Degup jantungnya bagai terhenti. ‘Bila pula si jahanam ni sampai? Ah, mereka berdua saja? Alamak mana orang lain ni.’
“Hai Aisya. How are you today?” ucap Firhan sambil meleretkan senyuman nakal.
“Syukur Alhamdulillah”, jawab Aisya perlahan, suaranya hampir tidak terkeluar.
“Lambat awak masuk office hari ni?”
“Ya, saya tertinggal train saya pagi ni.”
Firhan bersiul-siul lembut sambil matanya menyeluruhi tubuh Aisya seperti mahu menelanjangi tubuh gadis itu. ‘Aisya ini sebenarnya cantik juga’, bisik hati kecilnya. Tidak lama kemudian dia mula bergerak mendekati Aisya. Hampir dan semakin hampir sehinggakan bau minyak wangi yang dipakai oleh lelaki itu semakin kuat menusuk ke lubang hidungnya. Ah, si jahanam ni dah mula buat hal. Aisya mula ketakutan. Wajahnya pucat lesi. Dia berdoa agar ada orang lain yang masuk ke dalam lif dengan segera.
“Firhan! awak jangan buat benda yang tak senonoh!” marah Aisya sambil hatinya berselawat memohon dijauhi segala kemungkaran.
“Aisya, awak takut? Kalau saya lakukan sesuatu terhadap awak, apa awak nak buat?”
“Saya akan melawan dengan kudrat yang saya ada.”
“Ha ha ha…apa kudrat yang awak ada? Awak sendiri pun tahu, awak tak akan mampu melawan saya.”
“Jika saya tidak mampu, saya akan melawannya dengan doa.”
“Ha ha ha…doa? Apa yang doa boleh buat?”
“Ya, doa adalah senjata paling ampuh untuk orang-orang yang teraniaya.”
“Ah, saya tak ada niat nak ganggu awak. Awak tu bukan taste saya pun. Awak tu kurang upaya. Saya lelaki maskulin. Lelaki penuh energy. Saya ni layak berpasangan dengan artis je macam Neelofa ke, Fazura atau sekurang-kurangnya macam Megan Fox.”
“Pergilah! ikut suka hati awaklah. Itu bukan urusan saya.”
“Janganlah marah sayang. Saya cuma nak beritahu awak, err…malam tadi saya dapat daging fresh tau…ha haha.”
“Subhanallah. Ya Allah, ampunilah dosa hamba-hambaMu ini ya Allah”, Aisya berdoa agar Firhan dan dirinya sendiri terhindar dari siksaan dan kemurkaan Allah.
Pintu lif tingkat 18 terbuka. Ketakutan yang mencengkam Aisya mulai kendur. Firhan bergerak pantas menuju ke tandas lelaki manakala Aisya juga bergerak perlahan menolak kerusi rodanya menuju ke tandas wanita. Langkah Firhan terhenti. Dia mengundur semula sambil mengangkat-angkat kedua keningnya. Dia sempat meleretkan senyuman nakal.
“Boleh saya bantu ustazah?”
“Awak dah gila ya?”
“Susah Aisya nak ke tandas tu. Kotor dan licin. Saya just nak tolong tolak. Kudrat saya banyak.”
“Tak payah, tak perlu. Terima kasih atas simpati awak. Saya hanya nak ambil wuduk.”
“Ha ha ha…ambil wuduk?” Firhan tertawa besar. “Hei Aisya, awak jangan nak kelentong sayalah. Awak nak sembahyang apa? Walaupun saya ni jahil pasal agama tapi saya tau mana ada orang sembahyang pukul 9.00 pagi. Dah dekat pukul sembilan lebih dah ni…ha ha ha, awak ni ustazah sesat ke…aduhhh.”
“Subhanallah…saya nak lakukan solat sunat Dhuha lah! Banyak keistimewaan solat ini. Belajarlah jika kita tidak tahu,” marah Aisya. Firhan terkebil-kebil.
Dahi Firhan berkerut, “Solat Dhuha?…solat awak setiap hari tu tak cukup lagi kah?”
“Solat ni adalah tanda terima kasih saya kepada Allah atas segala Rahmat yang diberikan olehNya, awak pun kena amalkan,” jelas Aisya.
“Awak tak letih ke buat semua ni?”, tanya Firhan. Dia sedar gadis itu bukanlah gadis biasa.
“Biarlah kita letih di dunia, jangan kita letih di akhirat nanti.”
Firhan terasa malu dan kemudian dengan pantas dia berlalu,menuju ke destinasinya untuk menunaikan hajatnya yang tergendala.
Hari terus berlalu. Firhan, jika tidak sibuk dengan kerjanya, sering saja menggangu Aisya di work stationnya.
“Aisya, awak ni cantik sebenarnya. Kenapa awak tidak mahu mengenakan make up seperti perempuan lain? Kalau awak kenakan make up mesti nampak lebih cantik. Jika awak nak, saya belikan yang branded punya.Percuma.”
“Tak perlu membazir wang awak. Saya suka begini. Dah, saya tak suka diganggu,” pinta Aisya. Firhan tidak mahu berganjak.
“Awak tak nak nampak cantik macam kawan-kawan awak yang lain?”
“Firhan, saya bersyukur dengan apa yang saya miliki. Bagi saya hidup ini adalah perjalanan bukan pertandingan. Biarlah saya nampak hodoh dan hina di sisi manusia tapi indah di sisi Allah.”
“Oh,begitu syahdu, begitu melankolik. Wanita solehah!,” Firhan mempersenda. Aisya bertambah geram dan menyampah.
“Aisya, awak tau, saya sukakan awak. Saya cintakan awak. Saya tau awak pun sukakan sayakan?”, ujar Firhan mahu mempermainkan perasaan Aisya. Cuba menyucuk jarum saktinya. Aisya dapat menangkap maksud Firhan.
“Secara jujurnya saya tidak mempunyai perasaan langsung terhadap awak kecuali awak mengubah perangai buruk awak. Itu pun atas sebab silaturrahim.”
“Ah, tak payah nak berselindunglah. Katakan saja Aisya. Betul tak?”
“Jangan nak merepek. Saya bukan taste awak dan awak bukan lelaki soleh pilihan saya,” Aisya memulangkan paku buah keras. Firhan terasa panas.
“Hei Aisya, kenapa awak tak suka saya? Awak pun tau, tak ada perempuan yang menolak pelawaan saya tau.”
Letih melayan sikap Firhan, Aisya mencari sesuatu di bawah mejanya. Kemudian dia mengunjukkan sebuah bakul sampah kepada Firhan. Firhan termanggu.
“Untuk apa ni?”
“Buangkan semua perangai buruk awak tu ke dalam ni. Cinta awak, cinta bakul sampah,” balas Aisya.
“Kha ha ha…, Aisya, awak memang pandai bergurau. Firhan sering tertidur di dalam biliknya. Maklumlah malam hari menjadi serigala memburu mangsa. Siangnya terjelepuk di atas meja. Sehinggakan ada satu ketika dia tidak hadir dalam satu mesyuarat yang sangat penting. Mereka semua menyangka dia tidak datang bekerja, rupanya tertidur di dalam kereta di tepi jalan. Medik terpaksa dipanggil kerana dia tidak memberi sebarang respon bila pintu dan cermin kereta diketuk kuat berulang kali. Takut dia mempunyai masalah kesihatan, rupanya dia tidur mati. Polis terpaksa mengiringi kereta yang dipandu Firhan sehingga ke pejabat.
Berita mengejutkan berlegar di pejabat. Malah dipapar di akhbar tempatan dan di fb. Tajuk media : Audi Anak Dato’ Putus Dua. Di hospital. Firhan terlantar tidak bermaya. Dia merasakan dunianya sudah tidak bererti lagi. Sudah lenyap buat selama-lamanya. Hitam dan kelam. Ibu bapa, kaum kerabat, sahabat handai, teman wanita semua yang datang menziarahi tidak dilayan sangat. Mereka bukan boleh membantunya. Mereka, malah doktor pakar pun tidak mampu menyambung semula tangan kanan dan kaki kanannya yang telah putus. Dia kini kudung sebelah tangan dan sebelah kaki. Tidak boleh dibanggakan lagi. Tubuhnya tidak lagi sempurna. Tidak lagi menjadi idaman para gadis. Dia merasakan dirinya seolah-olah sudah mati. Sangat sukar untuknya menerima takdir.
Firhan terlihat sekeping kad bersaiz poskad yang terselit di dalam sebuah buku agama. Hadiah dari seseorang. Jangan pernah kecewa dan berputus asa. Tabahlah menghadapi ujian Allah. Letakkan diri di puncak sabar paling tinggi. Segala yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Musibah menjadi kebaikan kepada setiap muslim jika ia bersabar.
Oh, gadis penulis surat itu…air mata seorang lelaki yang dahulunya gagah dan menjadi pujaan setiap gadis bergenang. Dia tahu itu adalah ucapan ikhlas dari Aisya. Bukan hinaan tapi rangsangan dan kata-kata semangat untuknya meneruskan hidup. Murni sungguh hati Aisya. Dia tumpas di tangan gadis yang sering meluncurkan roda wheel chair buruknya. Terima kasih Aisya.