Terima kasih cikgu, jasamu sentiasa dikenang

Gambar oleh Kementerian Pendidikan

Tatkala mengimbau kembali pada 28 November yang lalu, pastinya memberikan debaran yang hebat khususnya kepada 5,741 murid yang menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2019 apabila mereka mula menerima keputusan masing-masing.

Bukan sekadar murid-murid malah ibu bapa, guru-guru juga turut berdebar-debar untuk menanti keputusan anak dan murid-murid mereka malah ada kalanya lebih kuat berbanding anak atau murid itu sendiri. Begitulah nilai atau sifat semula jadi ibu bapa dan guru-guru untuk memastikan setiap anak dan pelajar mereka beroleh keputusan yang cemerlang.

Pastinya, kebanyakan ibu bapa dan guru berharap agar murid-murid beroleh keputusan yang cemerlang, lulus dan dapat meneruskan lagi ke peringkat persekolahan yang seterusnya iaitu ke peringkat sekolah menengah.

Ucapan terima kasih

“Terima kasih cikgu, jasamu sentiasa dikenang”! Inilah ungkapan yang sesuai menggambarkan pengorbanan seorang guru yang bertanggungjawab mendidik anak murid tanpa penat lelah.

Selepas ibu bapa, guru adalah insan yang bertanggungjawab untuk mendidik anak bangsa dan mencorak masa depan generasi muda.

Dayang Fatin Afiqah dari SR Bebuloh
Awang Razlan Shahriman dari SR Bebuloh
Dayang Safwanah dari SR Dato Mohd Yassin
Dayang Azra Afefah dari SR Puni, Temburong
Awang Muhd Amir Hamizan dari SR Dato Mohd Yassin
Awang Mohd Wafri dari SR Puni, Temburong
Dayang Noor Syafiqah Fazlyiah dari SR Bebuloh
Awang Khairul Danish, SR Puni, Temburong

Salah satu cara untuk menghargai guru kita ialah dengan belajar bersungguh-sungguh agar dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Bagi murid-murid, mengorbankan masa tidur waktu malam dengan mengulang kaji pelajaran ternyata berbaloi apabila mereka memperolehi keputusan cemerlang dalam PSR.

Empat murid Tahun 6 Sekolah Rendah Puni, Temburong iaitu Awang Mohd Wafri bin Zulhairi, Awang Khairul Danish bin Khairul Ziadi, Dayang Nur Izz Ardini binti Helmy dan Dayang Azra Afefah binti Amir Khan melahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada guru-guru yang selama ini bersusah payah mencurahkan ilmu kepada mereka.

“Mohon maaf jika sekiranya kami ada membuat kesalahan dan menyinggung perasaan guru-guru ketika di sekolah.

“Kami sayang cikgu kami dan kami tidak akan melupakan jasa cikgu-cikgu yang telah banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada kami, dan hanya Allah sahaja yang dapat membalas semua jasa guru,” kata empat murid ini.

Sementara empat lagi murid dari Sekolah Rendah Bebuloh iaitu Dayang Noor Syafiqah Fazlyiah binti Muhd Redzuan, Awang Razlan Shahriman bin Rosalan, Dayang Fatin Afiqah binti Mohd Shahrun Nizam dan Mohd Izz Waie bin Md Izzul Islam juga mengongsikan ucapan terima kasih di mana murid-murid ini turut menghargai pengorbanan guru-guru yang sanggup meluangkan masa, menangguhkan perancangan atau cuti semata-mata ingin mengajar dan melihat mereka berjaya.

Sedia meluangkan masa

Murid-murid ini turut menyuarakan rasa terharu kepada guru-guru mereka yang sanggup memberi kelas tambahan pada waktu malam hanya untuk memastikan mereka memperoleh keputusan cemerlang.

“Kami berharap agar cikgu tidak akan merasa sedih dan risau tentang kami apabila kami meninggalkan sekolah untuk mengorak langkah seterusnya ke peringkat menengah kerana cikgu adalah mentor dan kawan baik kami,” kata murid Sekolah Rendah Bebuloh yang akan ingat segala pesanan dan nasihat guru-gurunya. Sementara itu bagi Awang Muhd Amir Hamizan bin Sani, Awang Mohd Fakhrul Ikram bin Othman dan Dayang Nur Darayani Fatrisha binti Mohd Yusrie dari Sekolah Rendah Dato Mohd Yassin juga mengucapkan terima kasih atas pengorbanan guru-guru yang mengajar dan terima kasih juga atas kesabaran melayan karenah murid-murid.

“Terima kasih sekali lagi kerana sering mengingati kami untuk mengulang kaji pelajaran dan memberi bimbingan kepada kami semua,” luah murid-murid ini sambil mengatakan bahawa guru mereka adalah yang terbaik.

Semoga semua guru-guru di Brunei Darussalam sentiasa diberikan kesejahteraan, dikurniakan kebahagiaan, kesihatan yang baik dan sentiasa di dalam rahmatNya.