Terima kunjungan hormat

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Mindef

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B), Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof hari ini menerima kunjungan hormat daripada Komando Panglima Angkatan Tentera Filipina, Leftenan Jeneral Macairog S. Alberto di Bolkiah Garison.

Pada kunjungan tersebut, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua melahirkan rasa puas hati atas hubungan pertahanan yang sangat baik di antara Negara Brunei Darussalam dan Filipina.

Beliau turut mengongsi hasil lawatan rasmi ke Filipina bulan lalu dan seterusnya menggariskan kepentingan untuk terus membina hubungan pertahanan yang erat bukan sahaja bagi kepentingan kedua-dua buah negara malahan di peringkat serantau.

Leftenan Jeneral Macairog S. Alberto turut mengadakan kunjungan hormat berasingan kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud dengan tumpuan perbincangan berkisar kepada aspek ketenteraan.

Beliau juga seterusnya mengadakan kunjungan Muhibah kepada Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Khairul Hamed bin Haji Lampoh di Markas TDDB, Berakas

Sejurus tiba di Markas TDDB, Leftenan Jeneral Macairog S. Alberto menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Batalion Kedua TDDB.

Semasa kunjungan muhibbah tersebut, Pemerintah TDDB dan Komando Panglima Angkatan Tentera Filipina telah membincangkan tentang kerjasama yang terjalin khususnya di dalam bidang pertahanan melalui pertukaran lawatan, mesyuarat, latihan dan kursus. Kedua-belah pihak turut membincangkan usaha-usaha meningkatkan kerjasama, terutama di antara kedua tentera darat.

Selain itu, Leftenan Jeneral Macairog S. Alberto juga berkesempatan untuk membuat lawatan ke Muzium ABDB, Perkampungan Fighting in Built Up Areas (FIBUA) dan Pusat Latihan Simulasi ABDB.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika menerima kunjungan hormat daripada Leftenan Jeneral Macairog S. Alberto.
Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei semasa menerima kunjungan daripada Komando Panglima Angkatan Tentera Filipina.
Leftenan Jeneral Macairog S. Alberto menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan.