Terima kunjungan hormat

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Dengan hasrat untuk memperkukuhkan lagi kolaborasi yang sedia ada dan di masa akan datang antara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) dengan Negara Brunei Darussalam, Pemangku Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, hari ini, menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah ISESCO di Rabat, Maghribi, Tuan Yang Terutama Dr Salim Mohammed Al Malik, yang mengadakan lawatan kerja ke Negara Brunei Darussalam.

Negara Brunei Darussalam menjadi negara pertama dari negara-negara ahli Pertubuhan ISESCO yang dikunjungi oleh TYT Dr Salim sejak dilantik sebagai ketua pengarah ISESCO pada bulan Mei 2019.

Kunjungan TYT Dr Salim ke negara ini juga adalah sempena penghormatan yang berikan oleh Pertubuhan ISESCO bagi pemilihan Bandar Seri Begawan sebagai Bandaraya Kebudayaan Islam bagi Rantau Asia tahun 2019. Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah SetiausahaTetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

Semasa kunjungan hormat berkenaan, TYT Dr Salim menyatakan penghargaan terhadap sumbangan dan sokongan berterusan Negara Brunei Darussalam kepada ISESCO. Beliau juga menyeru bagi kerjasama dan perkongsian yang lebih padu di antara ISESCO dan Negara Brunei Darussalam. TYT Dr Salim turut mengalu-alukan negara-negara anggota untuk menghantar pakar dan sumber daya manusia kepada organisasi berkenaan bagi perwakilan, latihan dan pembangunan kapasiti. Beliau seterusnya memaklumkan bahawa ISESCO sentiasa bersedia untuk membantu negara-negara anggotanya terutama dalam membentuk dan mengembangkan sektor pendidikan di negara-negara Islam selaras dengan trend terkini.

Sebagai sebahagian daripada agenda program lawatan, TYT Dr Salim turut membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

Manakala semasa lawatan kerja ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), TYT Dr Salim dialu-alukan oleh Pemangku Rektor UNISSA, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, pegawai-pegawai eksekutif dan pegawai-pegawai utama UNISSA.
Mengiringi kunjungan Tuan Yang Terutama ialah Pengarah Perhubungan Luar dan Kerjasama ISESCO, Dr Ahmad Said Bah.

Pemangku Rektor mengucapkan terima kasih atas kunjungan TYT Dr Salim dan diharap kunjungan ini akan dapat lagi mengeratkan hubungan kerjasama yang sememangnya sudah ada sejak keahlian UNISSA dalam Federal of The Universities of The Islamic World (FUIW) yang bernaung di bawah ISESCO pada tahun 2016.

Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah ketika menerima kunjungan hormat daripada TYT Dr Salim Mohammed Al Malik.
Pemangku rektor UNISSA menyampaikan cenderahati kepada TYT Dr Salim.