Terima kunjungan hormat

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Dis – Menteri Pertahanan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara, hari ini, telah menerima satu kunjungan hormat daripada Pengarah Eksekutif Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Ketua Pengarah Pejabat PBB di Vienna, Yury Fedotov yang memegang pangkat selaku Under-Secretary General PBB.

Semasa kunjungan tersebut, Menteri Pertahanan II mengalu-alukan kedatangan Yury Fedotov ke Negara Brunei Darussalam dan seterusnya bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan mandat dan aktiviti-aktiviti UNODC di Asia Tenggara, termasuk membanteras jenayah dadah dan penyeludupan manusia, jenayah siber, rasuah dan keganasan lain.

Yury Fedotov berada di negara ini juga bagi melawat menteri-menteri kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika menerima kunjungan hormat daripada Yury Fedotov.