Terima kunjungan hormat komander Jepun

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, kelmarin, telah menerima satu kunjungan hormat daripada Komander Escort Flotilla I, Pasukan Pertahanan Keselamatan Maritim Jepun (JMSDF), Laksamana Muda Hiroshi Egawa.

Semasa kunjungan hormat itu, Yang Berhormat Pehin mengalu-alukan kedatangan Laksamana Muda Hiroshi Egawa dan delegasi ke Negara Brunei Darussalam dan mengucapkan terima kasih di atas lawatan muhibah daripada JS IZUMO, JS MURUSAME dan JS AKEBONO ke negara ini bermula dari 23 hingga 30 Jun 2019.

Semasa lawatan itu juga, Laksamana Muda Hiroshi Egawa telah membuat kunjungan hormat kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Kedua-dua belah pihak berpuas hati atas hubungan dua hala di antara Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan JMSDF yang terus berkembang dari tahun ke setahun melalui pertukaran lawatan, latihan eksesais pelbagai hala dan kursus.

Pemerintah ABDB mengalu-alukan peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan kerjasama ketenteraan di antara kedua-dua buah angkatan laut pada masa akan datang.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika menerima kunjungan hormat Laksamana Muda Hiroshi Egawa.
Laksamana Muda Hiroshi Egawa ketika mengadakan kunjungan hormat kepada pemerintah ABDB.