Terima kunjungan pemerintah SOCPAC

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, hari ini, telah menerima satu kunjungan hormat daripada Pemerintah Special Operations Command, Pacific (SOCPAC), Amerika Syarikat, Mejar Jeneral Jonathan P Braga, di Bolkiah Garison.

Semasa kunjungan hormat itu, kedua-dua belah pihak telah mengesahkan hubungan mesra yang terjalin di antara kedua-dua negara dan kerjasama yang sangat baik terutamanya dalam bidang pertahanan dan ketenteraan.

Kedua-dua belah pihak juga berpuas hati dengan status kerjasama pertahanan dan ketenteraan yang sedia ada, khususnya dengan latihan Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) ke-25 yang telah dilaksanakan dengan jayanya pada 22 hingga 31 Oktober lalu dan peluang latihan bagi angkatan tentera.

Mejar Jeneral Jonathan P Braga telah mengambil alih jawatan sebagai pemerintah SOCPAC pada 27 Julai 2018. Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat telah menubuhkan hubungan pertahanan dua hala melalui penandatangan Memorandum Persefahaman dalam Kerjasama Pertahanan pada 29 November 1994.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua semasa menerima kunjungan hormat Mejar Jeneral Jonathan P Braga (kiri) di Bolkiah Garison. – Gambar oleh Kementerian Pertahanan