Terima kunjungan pesuruhjaya tinggi Australia

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, hari ini, telah menerima kunjungan muhibah daripada Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald.

Turut hadir pada kunjungan yang diadakan di Bangunan Dewan Majlis itu ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, semasa kunjungan itu, kedua-dua belah pihak telah merakamkan rasa penghargaan atas hubungan erat dan kerjasama yang ada antara kedua-dua buah negara yang terjalin sejak sekian lamanya dan berharap ia akan terus kekal dan berkembang lebih luas lagi terutamanya dalam bidang pendidikan, pertahanan, perdagangan dan juga pertukaran tenaga manusia.

Pada perjumpaan tersebut kedua-dua belah pihak menyentuh mengenai hal yang menjadi keprihatinan bersama antaranya mengenai keadaan masa ini yang mencabar dalam menghadapi penularan wabak COVID-19.

Kedua-dua belah pihak berharap keadaan mencabar ini akan mencapai penyelesaian dengan segera agar negara-negara dapat bergerak ke hadapan dengan lebih mudah dan efektif.

Pada perjumpaan tersebut juga, kedua-dua pihak mengongsikan maklumat mengenai parlimen di kedua-dua buah negara.

Kenyataan menyatakan, MMN akan sentiasa menjalin hubungan mesra bersama parlimen-parlimen wilayah serantau dan antarabangsa.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman ketika menerima kunjungan muhibah Puan Yang Terutama Tiffany McDonald. Hadir sama ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin. – Gambar serahan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat