Terima kunjungan pesuruhjaya tinggi Jerman

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, hari ini, menerima kunjungan hormat dari Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Gerda Winkler.

Turut hadir sama dalam kunjungan hormat yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis itu ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.

Semasa kunjungan hormat tersebut, kedua-dua belah pihak merakamkan rasa penghargaan atas hubungan erat dan kerjasama yang ada di antara kedua-dua buah negara yang terjalin sejak lamanya.

Selain daripada itu, kedua-dua pihak berharap dapat terus memperkukuhkan dan mengembangkan lagi kerjasama terutamanya dalam pertukaran tenaga manusia dan pertukaran parlimen.

Pada perjumpaan tersebut, kedua-dua belah pihak turut menyentuh mengenai hal yang menjadi keprihatinan bersama seperti mengenai cabaran dalam menghadapi penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Puan Yang Terutama turut mengongsikan pengalaman dan maklumat mengenai cara-cara Republik Persekutuan Jerman menghadapi pandemik tersebut. Ini termasuk dalam terus mendisiplinkan diri dengan pemakaian penutup mulut dan hidung demi mengurangkan risiko jangkitan virus COVID-19 terutama kepada golongan yang berisiko tinggi.

Kedua-dua belah pihak turut berharap agar pandemik COVID-19 akan kembali pulih dengan segera seterusnya menemui penyelesaian supaya semua pihak dapat bergerak ke hadapan seperti biasanya dengan lebih mudah dan efektif.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman ketika menerima kunjungan hormat PYT Gerda Winkler.