Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Seorang lelaki warga tempatan yang mencuri seutas rantai emas daripada seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan lapan bulan berserta 12 sebatan.
Hakim Mahkamah Perantaraan Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Norazmi bin Haji Tahir dengan mengambil kira faktor-faktor mengurangkan dan memburukkan.
Mahkamah menyatakan, hukuman bermula tujuh tahun, mengurangkannya kepada empat tahun lapan bulan atas dasar pengakuan bersalah defendan dan memberi hukuman sebat minimum seperti yang diperuntukkan.
Hakim juga mempertimbangkan rekod jenayah defendan dengan 13 sabitan terdahulu bagi pelbagai kesalahan dari 1986 hingga Disember 2017.
“Ini adalah kes yang sangat oportunistik melibatkan kes curi terhadap mangsa perempuan berusia setahun enam bulan,” ujar hakim.
Pihak pendakwaan dalam kesnya menyatakan bahawa defendan terse-rempak dengan mangsa di kedai runcit dan menanggalkan rantai emas daripada lehernya.
Dalam bergegas untuk pergi, defendan meninggalkan kesan calar pada pipi kiri mangsa.
Mangsa menangis dan jatuh ke lantai sementara defendan pergi ke bahagian lain kedai, melambung-lambungkan rantai emas itu antara kedua tangannya tatkala bergerak ke kaunter pembayaran.
Ibu bapa budak itu yang berada tidak jauh segera pergi kepada anak mereka dan menyedari rantai emas berkenaan telah hilang.
Ibu bapa berkenaan menyaksikan rakaman CCTV kedai berkenaan dan melihat perbuatan defendan. Rakaman itu membantu pihak polis dalam siasatan apabila laporan dibuat dan membawa kepada penangkapan defendan.
Defendan mengaku telah menjual rantai emas berkenaan pada harga $70 kepada seorang wanita warga Indonesia, yang tidak dapat diperolehi semula, dan menggunakan wang berkenaan untuk membaiki keretanya.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Atiyyah Abas.




























