Terima pencen melalui kaedah pandu lalu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Dalam usaha membendung risiko jangkitan COVID-19 dan mengelak perhimpunan beramai-ramai, Jabatan Perbendaharaan akan membuat pembayaran Pencen Perkhidmatan dan Pencen Turunan (balu serta tanggungan) melalui kaedah pandu lalu sahaja.

Pembayaran pencen-pencen tersebut bagi bulan Mac 2020 akan dibuat di tempat-tempat yang dikhaskan seperti Dewan Perpaduan dan Dewan Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) bagi Daerah Brunei dan Muara.

Sementara itu bagi Daerah Belait, pembayaran akan dibuat di Dewan Persidangan Kuala Belait, Daerah Tutong di Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong dan bagi Daerah Temburong, di Pejabat Jabatan Perbendaharaan, Temburong iaitu tempat lazim pembayaran dibuat setiap bulan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan bahawa pembayaran di tempat-tempat yang dinyatakan berkenaan akan dibuat dalam masa dua hari pada 28 Mac dan 30 Mac bermula jam 7:30 pagi sehingga 4 petang.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua ketika menerangkan mengenai kaedah pengambilan pencen, kelmarin.

Menurutnya lagi, penerima-penerima diarahkan untuk membawa bersama kad pengenalan asal masing-masing untuk kegunaan pihak Jabatan Perbendaharaan.

Sementara itu bagi para penerima yang ada mempunyai kad akaun bank tetapi belum mendaftarkannya ke Jabatan Perbendaharaan, dinasihatkan untuk membawa bersama salinan kad akaun bank berkenaan untuk proses pembayaran pencen bagi bulan berikutnya.

Manakala pembayaran pada hari-hari berikutnya akan dibuat di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi bagi Daerah Brunei Muara dan di cawangan-cawangan Jabatan Perbendaharaan di Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong selama 10 hari waktu bekerja.

Penerima yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai perubahan tatacara pembayaran yang dimaksudkan itu bolehlah menghubungi talian 2380822/2383469.

Yang Berhormat Dato turut menasihatkan orang ramai untuk bekerjasama dan mematuhi arahan-arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa bagi melancarkan lagi pembayaran pada hari tersebut.