Terima sokongan padu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan sokongan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) untuk membekalkan 216 kompu-ter riba dan 338 capaian internet kepada pelajar-pelajar yang memerlukan di sekolah Arab dan Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan peruntukan sebanyak $179,640.

Perkara berkenaan diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman​ (gambar bawah)  pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin memaklumkan bahawa peringkat ketiga pelonggaran bagi persekolahan Arab dan agama termasuk Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) akan bermula pada 4 Julai ini.

Sehubungan itu, sebagai penyelarasan dengan bermulanya sesi persekolahan peringkat ketiga itu, beliau berkata, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Pengajian Islam dan ITQSHHB akan terus membukakan kemudahan asrama bermula 5 Julai bagi pelajar-pelajar luar daerah dan mana-mana pelajar yang layak dan memenuhi pensyaratan mengikut panduan dan nasihat Kementerian Kesihatan dalam perkara kawalan penularan wabak COVID-19.

Di samping itu, pihak sekolah juga akan terus dibekalkan dengan pakej kesihatan berupa penyukat suhu badan, penutup mulut dan hidung serta pensanitasi tangan tambahan sebagai mendukung saranan dan garis panduan pihak Kementerian Kesihatan. Selain itu, tambah beliau, pihak kementerian pada masa ini juga sedang mengusahakan untuk membekalkan penutup mulut dan hidung fabrik kepada semua tenaga pengajar di bawah kawalan KHEU termasuk sebahagian pelajar yang memerlukan.

Menyentuh mengenai pembukaan semula masjid, surau dan balai-balai ibadat dalam tahap ketiga pelonggaran kawalan yang akan bermula pada 6 Julai, Yang Berhormat Pehin berkata, pada tahap itu nanti, jawatankuasa takmir masjid, surau dan balai-balai ibadat seluruh negara dibolehkan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti takmir berkumpulan.

Ini termasuk membaca Surah Yasin, Tahlil dan Ratib Al-Attas, begitu juga acara tazkirah, kuliah, tadarus Al-Quran dan pengajian kelas agama.

“Aktiviti-aktiviti sedemikian dibolehkan dengan keramaian tidak melebihi 50 orang bagi tempoh atau jangka waktu satu jam,” ujar beliau sambil menambah, kelas pengajian Al-Quran dan Muqaddam belum dapat diadakan pada tahap ketiga ini, mungkin akan termasuk dalam tahap keempat.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama juga telah mengongsikan mengenai kehadiran jemaah bagi solat Fardu Jumaat yang katanya sangat baik.

“Menurut data kehadiran jemaah yang dikumpulkan oleh pihak berkenaan Kementerian Kesihatan didapati majoriti masjid dan surau mencatatkan lebih 70 peratus hingga 100 peratus kehadiran pada kelima-lima Jumaat bermula 29 Mei lalu hingga 26 Jun,” jelasnya.

Data kehadiran jemaah dalam lima Jumaat itu, tambah beliau, menunjukkan peningkatan daripada lebih 30,000 pada dua Jumaat pertama kepada lebih 40,000 pada tiga Jumaat terakhir. Bilangan jemaah yang layak hadir ke masjid dalam dua tahap pelonggaran itu menurut perkiraan usia adalah dalam lingkungan usia 15 hingga 65 tahun ke atas. Bilangan jemaah yang berusia 65 tahun ke atas itu tidak sampai 2,000 orang. Sementara itu, jemaah dalam lingkungan usia 15 hingga 55 tahun pula adalah lebih dua pertiga daripada jumlah jemaah yang hadir.