Teriyaki Marinade dicemari alkohol

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah mengesahkan bahawa produk Teriyaki Marinade jenama Masterfood yang merupakan produk keluaran Australia didapati dijual di salah sebuah pasar raya di negara ini, tidak halal untuk orang Islam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEU, syarikat pengeluar Mars Food Australia telah dihubungi oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah dan syarikat itu mengesahkan bahawa produk tersebut tidak disahkan halal kerana mengandungi bahan ramuan iaitu sejenis alkohol (minuman keras) jenama ‘Sherry’ dalam produk tersebut.

Dalam menangani perkara berkenaan, Jabatan Hal Ehwal Syariah telah menegaskan supaya produk tersebut diasingkan dengan serta merta dari tempat penyimpanan umum dan diletakkan di tempat atau ruangan Non-Halal.

Semua pengimport, pasar raya dan kedai di negara ini juga dinasihatkan supaya melakukan tindakan pengasingan dengan serta-merta jika terdapat produk yang sama diedarkan dan dijual di premis masing-masing.

Sehubungan itu, KHEU juga mengingatkan para pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk dan barang gunaan di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk dan barang gunaan import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk-produk halal tidak bercampur dengan yang tidak halal.

Ini demi menjaga maslahat masyarakat Islam di negara ini daripada terjebak mengambil dan menggunakan produk dan barang gunaan yang tidak halal.

Di samping itu, KHEU mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas maklumat berhubung perkara tersebut dan bagi orang ramai yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

Produk Teriyaki Marinade diarahkan untuk diasingkan serta-merta ke ruang Non-Halal. – Gambar serahan KHEU