Terjatuh ketika petik rambutan

JOHOR BAHRU, 1 SEPT – Gara-gara ingin memetik buah rambutan, seorang pekerja kilang pembuatan maut selepas terjatuh dari bumbung gudang kilangnya di Jalan Johor dekat Pontian, Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor Husdin Che Amat berkata lelaki warganegara Nepal berusia 41 tahun itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada 10:15 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu ditugaskan ke gudang kilang tersebut bersama rakan sekerjanya untuk mengambil sampel produk namun dia memaklumkan mahu memetik rambutan berhampiran gudang sebelum menaiki bumbung menggunakan tangga aluminium mudah alih seorang diri.

“Kepingan bumbung lut sinar yang terkopak dan pecah (kesan jatuh) masih berada di bumbung pada ketinggian 30 kaki (9.14 meter) dari lantai mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.– Bernama