Terkail ikan karuk emas

TUTONG, 2011 – Pepatah Melayu ada mengatakan ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Mungkin inilah yang terjadi kepada Dayang Hadiah Ibrahim apabila mata kailnya disentap seekor ikan karuk ganjil berwarna kuning emas.

Beliau yang gemar memancing sebagai aktiviti sampingan sejak berpuluh tahun begitu terkejut melihat ikan berkenaan.

“Belum pernah terjadi seumur hidup saya mendapat ikan karuk yang luar biasa berwarna emas. Ikan karuk biasanya berwarna hitam dan ada yang sedikit kekuningan dengan sifat semulajadinya agak aktif,” katanya.

Ikan karuk emas ini yang ditangkapnya semakin berwarna cerah dan agak jinak.

Menurut Dayang Hadiah, sebelum ini salah seorang cucunya pernah bermimpi didatangi oleh seorang tua serba putih dengan membacakan satu utusan tanpa diketahui dan difahami maksud bacaannya sehinggalah cucunya terjaga dari tidur.

Beliau bagaimanapun tidaklah mendakwa apa-apa keistimewaan tentang mimpi itu semuanya kebetulan saja kerana kita umat Islam berpegang tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah SWT sahaja. Namun keesokan harinya belia pergi memancing di kawasan ulu Belait dan di sana beliau terpancing ikan karuk emas itu.