Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Terkedu banjir besar kembali berlaku selepas 1970

    Gambar Bernama

    BATU PAHAT – Tidak pernah terbayang di fikiran seorang warga emas kejadian ‘banjir besar’ yang berlaku pada tahun 1970 di kediamannya di Kampung Parit Lapis Bangas, Sri Medan di sini berulang kembali, malah kejadian pada tahun ini dianggap antara yang terburuk pernah berlaku.

    Painah Hidol, 71, berkata kedalaman air pada tahun ini naik menghampiri dua meter, sama dengan kejadian yang berlaku 53 tahun lepas itu yang turut mengakibatkan rumahnya tenggelam, namun dia bersama keluarga bernasib baik ketika itu kerana mempunyai bahagian rumah yang lebih tinggi.

    “Kawasan di sini (Parit Lapis Bangas) bukannya tak pernah dilanda banjir selepas itu, ada juga namun hanya di paras betis atau lutut sahaja…tidak seperti sekarang (tahun 2023) ia cukup dalam.

    “Masa tahun 1970, banjir berkenaan memakan masa hampir dua bulan untuk surut sepenuhnya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Jamik Kampung Parit Lapis Bangas, baru-baru ini.

    Painah ditemui ketika lawatan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid, ke PPS Masjid Jamik Kampung Parit Lapis Bangas untuk menghantar bekalan makanan kepada kira-kira 200 penduduk kampung berkenaan, yang terputus hubungan jalan darat.

    Painah yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak Jumaat lepas berkata dia berharap, banjir di kawasan terbabit akan cepat surut sepenuhnya, selain turut mengharapkan adanya tindakan pihak tertentu bagi mengatasi ‘banjir besar’ ini daripada berulang di masa yang akan datang.

    Sementara itu, Mohd Fared memaklumkan sehingga semalam, sebanyak lapan masjid di negeri ini telah dijadikan PPS dan ke semuanya di daerah Batu Pahat, namun beliau menganggap PPS yang dibuka di Masjid Jamik Kampung Parit Lapis Bangas ini istimewa.

    Beliau berkata satu-satunya jalan masuk untuk ke PPS berkenaan ialah dengan menggunakan bot dan proses menghantar bekalan makanan oleh pihaknya juga dilaksanakan dengan kaedah berkenaan, selain pemantauan akan dilakukan dari masa ke semasa.

    “Saya juga perlu meranduk air (mengharung atau menyeberang) dengan menggunakan bot, di mana untuk sampai ke PPS tersebut, ia mengambil masa hampir satu jam. Saya juga difahamkan di kawasan ini juga terputus talian internet dan hanya boleh berhubung dengan telefon sahaja,” katanya. – Bernama

    Mohd Fared Mohd Khalidmenyampaikan bantuan barangan keperluan daripada MAINJ kepada Painah Hidol.
    Beberapa ekor kucing turut terperangkap di sebuah rumah yang masih digenangi air walaupun cuaca panas sejak semalam ketika tinjauan di Kampung Sengkuang, Batu Pahat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...