BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac 2007 – Lelaki berusia 47 tahun terkejut besar apabila menyedari wang tunai $90,000 yang disimpannya dalam almari kecil dalam bilik tidurnya hilang.
Mangsa yang tinggal di Jalan Sungai Pandan, Kuala Belait menyedari kehilangan wang itu ketika terjaga dari tidur kira-kira pukul 8 pagi.
Pegawai Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei, Inspektor Haji Besar lantas menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila memegang wang sebanyak itu dengan menyimpannya dalam akmari berkunci rapa atau dalam peti keselamatan.
Kejadian itu adalah antara kes curi yang dilaporkan kepada polis dalam tempoh tiga hari yang termasuk kes memecah kereta Proton Wira bagi mencuri dua buah telefon bimbit dan jam tangan berjenama mahal. Kejadian berlaku berhampiran lampu isyarat jalan Kebangsaan.
Polis juga mencatatkan dua kejadian curi kereta, Toyota Corona dan Hyundai Accent serta dua kejadian curi di sekolah agama di ibu negara dan skim perumahan Lambak Kiri.
Polis juga berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes curi. Sementara itu polis menerima laporan lima kes curi dalam bangunan Lambak Kanan, Gadong dan Jalan padang di Penanjong, Tutong.
Barang-barang yang hilang termasuk dua peti televisyen, empat buah rim sport dan sebuah pemotong rumput. Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan kerana menyimpan barangan curi itu.