Terkejut ‘kalimah’ atas paha kucing

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad – Awang Talib dan keluarga dari Kampung Subok menyedari salah seekor kucing yang dipeliharanya mempunyai kalimah seperti Allah di kedua-dua belah paha kucing itu.

Tinjauan Media Permata ke rumah Awang Talib mendapati kucing kampung berbulu tiga (putih, kuning dan hitam) itu baru melahirkan tiga ekor anak.

Menurut Awang Talib, 59, setelah menyedari “keganjilan” kucing itu, beliau terus menghubungi imam masjid Kampung Subok untuk turut melihat kalimah itu.

Awang Talib berkata beliau memiliki lebih daripada 10 ekor kucing tempatan selain turut memelihara beberapa ekor burung dan ayam kampung.

Mengenai tabiat kucing terbabit yang diberi nama Bogi, beliau mendakwa kucing itu akan menggesel-geselkan badannya jika ia lapar dan lebih gemar memakan keropok dibandingkan dengan makanan seperti ikan atau makanan kucing khusus.