Terkejut nampak ular dalam reban itik

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Penghuni sebuah rumah terkejut besar apabila mendapati seekor ular sawa berlingkar dalam reban itik pada kejadian yang berlaku di kawasan Kampung Putat, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, tiga orang anggota bomba dari Balai Bomba Sungai Kebun yang diketuai oleh Pemangku ASO Muhd Muzri Adlee bin Haji Umar, telah dikerahkan ke lokasi panggilan.

Apabila tiba di lokasi, anggota bomba mendapati seekor ular sawa berukuran lima meter panjang berlingkar dalam reban itik dan terus menggunakan peralatan, snake catcher untuk menangkap ular tersebut.

Ular itu kemudian dilepaskan ke habitatnya di kawasan yang jauh dari tempat kawasan perumahan bagi memastikan keselamatan orang ramai.

JBP dalam kenyataannya menyarankan orang ramai untuk tidak menghampiri atau berhasrat untuk mengancam binatang itu bagi mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini.

Jabatan tersebut juga menasihatkan kepada penghuni rumah untuk memastikan pintu rumah serta jendela dalam keadaan tertutup jika tidak berada di rumah itu bagi mengelakkan binatang-binatang liar seperti anjing liar, ular, buaya dan monyet untuk memasuki rumah mereka.

Pihak jabatan bomba dan penyelamat turut menyatakan reban ayam atau itik menarik perhatian binatang liar seperti ular dan oleh itu, orang ramai juga harus memastikan persekitaran rumah dan reban dalam keadaan bersih dan teratur.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak menangkap ular sawa sepanjang lima meter yang menyelinap masuk ke reban itik.
Anggota bomba dan penyelamat bertindak menangkap seekor ular sawa berukuran kira-kira lima meter panjang yang ditemui dalam reban itik dalam kejadian yang berlaku di kawasan Kampung Putat.