Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Terkesan kenaikan harga barangan keperluan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa barangan keperluan dapur dikatakan melonjak naik harganya yang sedikit sebanyak memberi impak kepada para peniaga terutamanya peniaga kecil-kecilan.

    Berdasarkan rungutan sebilangan peniaga dan pengguna terhadap lonjakan harga itu, wartawan Media Permata berpeluang mengadakan temu bual dengan beberapa peniaga ‘home base’ yang melahirkan kekecewaan dengan kenaikan harga barangan utama seperti bawang, minyak, lada dan sebagainya.

    Haji Hairul Azri bin Haji Salamat mengatakan beliau amat terasa dengan kenaikan harga barangan berlaku pada masa ini yang memberikan kesan terhadap kehidupan harian.

    “Banyak keperluan lain yang perlu dibayar, selain makanan dan minuman, termasuklah pembayaran bil bulanan yang ada kalanya tidak mencukupi disebabkan kesan kenaikan harga ini,” katanya.

    Beliau yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan sebelum ini menjual makanan yang dimasak dengan harga $1 tapi disebabkan impak kenaikan harga, barangan yang dijual terpaksa dinaikkan ke $1.50.

    Haji Hairul Azri.
    Hajah Ahmidah.
    Kenaikkan harga turut memberi impak kepada hidangan tapau untuk majlis keramaian.

    Walaupun dengan harga yang dinaikkan itu, ia kandang-kadang tidak dapat memusing modal yang ada kerana beliau akan kehilangan pelanggan sekiranya harga dinaikkan kepada $2.
    Beliau turut berasa terkilan apabila terdapat peniaga yang mengambil kesempatan dalam ketika negara berhadapan dengan penularan wabak ini.

    “Rata-rata peniaga dan kedai runcit memberi alasan kenaikan harga barang terutama barangan dapur ini disebabkan oleh kesukaran kemasukan barang, sedangkan kerajaan telah memberikan kebenaran pada barangan import dan sebagainya,” jelasnya.

    Seorang lagi pengusaha makanan tempatan, Hajah Ahmidah binti Abdul Ghani mengongsikan bahawa bara-ngan mentah turut mengalami peningkatan sama ada secara perlahan atau mendadak.

    Ini termasuklah harga daging mentah yang sebelum ini dijual pada harga $6 ke $7 sekilo tetapi kini ia boleh didapati dengan harga $14 ke $16 sekilo.

    Selain itu, bahan utama dalam masakan seperti minyak, bawang, lada turut mengalami peningkatan harga yang sangat ketara, jika dibandingkan sebelum ini misalnya harga minyak untuk 5 liter sebelum ini $6, tetapi kini harganya naik $10, katanya. Menurutnya, selaku peniaga, untuk mengatasi kenaikan harga itu, mereka terpaksa menaikkan harga jualan daripada harga asal bagi mendapatkan semula modal dan sedikit keuntungan.

    “Menaikkan harga jualan perlu difikirkan dahulu kerana pelanggan sudah terbiasa dengan harga lama, namun dalam masa yang sama, mengekalkan kualitinya,” tambahnya.

    Sementara temu bual Haji Kamsani bin Haji Dasnan, 43, yang menjalankan perniagaan masakan sepenuh masa, mengongsikan bahawa kenaikan harga barangan itu turut membimbangkan beliau kerana khuatir peristiwa kedainya ditutup sebelum ini berulang lagi.

    “Salah satu sebab tutup ialah kenaikan harga barangan sehinggakan saya terpaksa menjalankan perniagaan di rumah sahaja.

    “Bukan setakat itu, ada juga pihak yang menjual telor dengan harga gred AA tetapi ianya di campur dengan gred yang kecil, di manakah kejujuran peniaga di sini?” soalnya.

    Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkenan dapat mengawal dan memainkan peranan masing-masing ketika negara bergelut dengan penularan wabak ini, supaya para peniaga tidak terlalu terkesan dan dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...