Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Terkesima ditewaskan Getafe

    MADRID, 3 JAN – Carlo Ancelotti berkata Real Madrid ‘masih lagi bercuti’ selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-0 menentang Getafe kelmarin selepas Barcelona mengatasi kekacauan COVID-19 mereka untuk merebut kemenangan tipis di Mallorca.

    Kekalahan mengejut Madrid adalah yang pertama dalam tempoh tiga bulan dan memberi harapan baharu kepada kumpulan pengejar yang berkumpul di Sepanyol, selepas kesilapan awal Eder Militao membolehkan Enes Unal menjaringkan gol kemenangan di Coliseum Alfonso Perez.

    “Kami dalam percutian dengan tambahan satu hari,” kata Ancelotti selepas itu. “Pasukan itu bukan pasukan yang sama bermain sebelum Krismas, kurang komitmen dan kurang tumpuan.

    “Kami tidak layak untuk kalah tetapi akhirnya dengan kekalahan itu ia akan menjadi satu kesedaran.”

    Barcelona kehilangan lapan orang pemain pasukan utama yang telah diuji positif COVID-19 minggu lalu manakala enam lagi tidak bermain kerana kecederaan atau penggantungan.

    Atletico dan Barca masing-masing masih 14 dan 15 mata di belakang Real Madrid tetapi Sevilla di tangga kedua hanya akan ketinggalan lima di belakang pendahulu, dengan satu perlawanan dalam tangan, jika mereka menang di Cadiz kelmarin.

    Madrid telah menguasai perebutan kejuaraan Sepanyol selepas prestasi cemerlang termasuk 10 kemenangan berturut-turut dan 15 perlawanan tanpa kalah, kekalahan terakhir mereka di Espanyol pada 3 Oktober.

    Tetapi pasukan Ancelotti mengalami masalah dalam perlawanan pertama mereka pada tahun 2022 dan, selain daripada tempoh yang singkat pada separuh masa pertama, bergelut untuk mengancam gawang Getafe.

    Eden Hazard masuk pada separuh masa tetapi sekali lagi gagal menghidupkan pasukannya manakala Karim Benzema mendiamkan diri di hadapan. Madrid pasti merindui penglibatan Vinicius Junior, yang tidak hadir selepas disahkan positif COVID-19. – AP

    Aksi pemain tengah Getafe, Nemanja Maksimovic (kiri) bertarung untuk mendapatkan bola dengan penyerang Real Madrid, Eden Hazard semasa perlawanan bola sepak liga Sepanyol antara Getafe CF dan Real Madrid CF, di stadium Kol. Alfonso Perez di Getafe pada 2 Januari 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mula mengundi dalam pilihan raya terbesar dunia

    NEW DELHI, 19 APRIL - Berjuta-juta orang India mula mengundi pada hari ini dalam pilihan raya enam minggu yang merupakan referendum ke atas Narendra...