PERLU atau tidak ibu bapa menyediakan mainan yang banyak kepada anak-anak? Adakah perkara itu mendatangkan kebaikan atau keburukan dalam proses pembesaran si kecil tersayang.
Persoalan itu sering timbul terutama kepada ibu bapa muda yang baru memiliki cahaya mata, mungkin kerana perasaan kasihan atau terlalu teruja menjadikan mereka memanjakan anak dengan membelikan pelbagai jenis mainan hingga akhirnya memenuhi setiap sudut kediaman.
Adakah tindakan itu tepat atau mungkin boleh mendatangkan masalah? Hakikatnya ramai ibu bapa secara tidak sedar terlebih membelikan mainan untuk anak-anak.
Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Perak Hazhari Ismail berkongsi pendapat mengenai isu ini berkata, mainan dan kanak-kanak tidak dapat dipisahkan.
“Lambakan mainan di pasaran memudahkan ibu bapa untuk membeli. Daripada sekecil-kecil saiz, sehingga sebesar-besarnya, ada sahaja yang dibawa pulang. Adalah sesuatu yang normal jika rumah bersepah dengan mainan atas alasan untuk perkembangan anak-anak.

“Persoalannya, adakah benar memberi terlalu banyak mainan memberikan kesan positif kepada perkembangan mereka?” katanya.
Mainan banyak lawan mainan sedikit
Menurutnya, kajian mengenai ‘The Influence of the number of toys in the environment on toddlers’ play’ mendapati mainan yang ‘disisihkan’ akan mengurangkan kualiti waktu bermain dan mainan yang sedikit mampu meningkatkan fokus, perhatian juga kreativiti.
Apabila kanak-kanak mempunyai pilihan mainan yang sedikit, mereka akan bermain dengan setiap mainan dalam tempoh lebih lama dan lebih banyak interaksi.
“Ia termasuk akal mereka yang terus berkembang untuk berimaginasi dan berpura-pura bermain, ekspresi diri, kemahiran motor dan koordinasi juga menyelesaikan masalah,” katanya.
Tambah Hazhari, adakah perlu membuang mainan yang berlambak itu? Jawapan tidak kerana membazir itu juga tidak elok.
“Ibu bapa boleh berikan mainan secara berkala. Buat kumpulan mainan itu dan berikan berperingkat. Saya melihat kesan kepada perkembangan kanak-kanak. Banyaknya mainan tidak membantu perkembangannya. Kadangkala kanak-kanak akan belajar banyak perkara dalam sumber yang terhad,” katanya.
Kelebihan jumlah mainan yang sedikit
1-Menjadi lebih kreatif
Ada kajian yang dijalankan di nurseri di Munich yang mengeluarkan mainan dari premis. Pada peringkat awal, kanak-kanak akan menjadi bosan, tetapi lama-kelamaan mereka menggunakan barang asas atau sumber dari persekitaran untuk mencipta permainan dan mempunyai imaginasi tinggi untuk bermain!
2-Memanjangkan tempoh tumpuan
Terlalu banyak mainan akan mengganggu kanak-kanak untuk kekal fokus.
Contohnya, jika permainan itu memerlukan kemahiran menyelesaikan masalah, mereka akan berpindah kepada mainan yang lain jika gagal menyelesaikan masalah kerana ada pilihan yang lebih mudah.
Oleh itu, kemahiran menyelesaikan masalah yang diinginkan itu tidak menjadi.
3-Kemahiran bersosial menjadi lebih baik
Dalam perkembangan sosial, bukan semata-mata bagaimana kita tahu berkomunikasi dengan orang sekeliling, tetapi kanak-kanak perlu belajar cara mengekalkan hubungan dengan kawan-kawan dalam tempoh yang panjang. Ia secara tidak langsung mengasah kemahiran berinteraksi. Mereka akan belajar menghargai orang sekeliling.
4-Menjaga barang
Ini perkara penting. Kita nampak kanak-kanak menyepahkan mainan sebab terlalu banyak. Mereka tidak belajar untuk menjaga dan menghargai barang sendiri. Untuk membina dan mengajar tanggungjawab kepada kanak-kanak, ia perlu dimulakan dengan yang sedikit dan akan berkembang.


5-Belajar berkongsi
Jika ada mainan yang sedikit, pada peringkat awal mungkin berlaku perebutan dan pergaduhan antara kanak-kanak sebaya di taska, tadika atau adik-beradik di rumah. Namun, ‘pergaduhan’ itu perlu berlaku untuk membina sifat toleransi, kerjasama dan berkongsi.
Apakah kebaikan bermain untuk kanak-kanak?
Apa kebaikan bermain untuk kanak-kanak pada zaman sekarang? Anak anda seorang yang aktif? Anak anda sering bermain? Pantang nampak bola, lori dan kereta mainan? Atau dia akan ralit bermain mainan teka-teki atau lego?
Anda dapat lihat apa perkembangan dan pelajaran yang dia dapat daripada bermain? Atau anda rasa dia sekadar bermain dan membuang masa dan juga membuat sepah di rumah?
Tahukah anda bahawa bermain itu adalah hak seorang anak? Mengikut Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (20 November 1989), menyatakan bermain itu adalah hak seorang anak.
Bermain adalah dunia kanak-kanak. Mereka belajar melalui persekitaran mereka. Melihat ke wajah anak-anak, benar-benar membuatkan kita terfikir. Kadang-kadang nasi bertaburan ketika makan. Minum pun sering kali tertumpah ke lantai. Barang permainan pasti sudah tidak sesempurna seperti ketika mula-mula dibeli. Ada yang hilang tayar, ada yang dilekat dengan permainan yang lain dan macam-macam lagi. Di sini dikongsikan antara kebaikan bermain untuk kanak-kanak:
1-Dengan bermain, mereka akan melompat, berlari, melutut, merangkak, memanjat, mengelungsur dan sebagainya. Ini melatih skil motor kasarnya dan sangat penting bagi perkembangan fizikal serta mental anak. Dengan menggerakkan semua anggota badannya, mereka dapat menggerakkan pula otot-otot kecil mereka.
2-Bermain dapat membina otot-otot kecil seperti di jari jemari anak. Aktiviti seperti mengutip benda kecil, memasukkan benda kecil ke dalam lubang, menyusun, membina blok dapat mengaktifkan jari mereka. Ini dapat membantu anak untuk cepat menulis.
3-Bermain juga dapat melatih anak untuk berkomunikasi dengan orang lain. Mereka akan belajar berkawan, menunggu giliran, mengucapkan terima kasih, meminta maaf dan sebagainya.
4-Selain daripada itu juga, anak akan belajar mengawal emosinya. Dia akan tahu apa itu marah, kecewa, gembira, sedih, kasihan dan sebagainya. Kesemua emosi ini amat penting kerana dia akan belajar bagaimana mengawalnya dengan baik.
5-Anak akan jadi kreatif, imaginatif dan cuba menyelesaikan masalah. Contohnya dengan bermain Lego atau manipulatif, dia akan berimaginasi untuk membina kapal terbang atau kereta. Otaknya berfikir blok apakah yang sesuai untuk melengkapnya menjadi kapal terbang. Anak akan berfikiran kritikal. Ini merangsang untuk otaknya berhubung dan berfungsi dengan baik.
Jadi, biarkan mereka bermain dalam suasana yang selamat dan harmoni kerana bermain memberikannya banyak manfaat. – Agensi

































