Terlalu taksub sarung tangan hilang

TOKYO – Koji Ishii tidak dapat mengawal dirinya: setiap kali beliau terjumpa sarung tangan yang hilang di jalan raya di kampung halamannya di Tokyo, beliau akan berhenti dan mengambil gambarnya.

Lebih 15 tahun lamanya, lelaki berusia 39 tahun itu telah mengambil gambar dan mencatat butir-butir secara terperinci mengenai ribuan sarung tangan yang tertinggal di jalan raya ibu negara Jepun dan juga tempat lain.

Ia merupakan satu keghairahan, tetapi juga, menurutnya satu ‘sumpahan’.

“Saya hidup sering dihantui rasa takut mungkin terdapatnya satu sarung tangan berada tidak jauh. Saya hanya boleh menggambarkannya sebagai satu sumpahan,” beritahunya kepada AFP.

Beliau bukan sendirian. Di seluruh dunia, subbudaya mendokumen sarung tangan yang hilang telah muncul dan berkembang pesat, dengan banyak akaun media sosial mendedikasi ruangan dikhaskan untuknya – misalnya Long Lost Gloves dan Lost Glove Sightings di Instagram.

Koji Ishii merakamkan gambar sarung tangan hilang yang tersangkut di tiang bersebelahan jalan di Tokyo. – AFP
Koji Ishii semasa sesi temu bual dengan AFP di Tokyo. – AFP
Koji Ishii merakamkan gambar sarung tangan yang tergantung di pagar wayar di Tokyo. – AFP

Bintang Hollywood Tom Hank telah menarik perhatian peminat dengan gambar aksesorinya, malah baru-baru ini berkongsi satu gambar tentang satu sarung tangan hospital apabila mengumumkan beliau dijangkiti COVID-19.

Bagaimanapun, Ishii ialah veteran fotografi sarung tangan yang hilang.

Obsesinya bermula sejak tahun 2004 apabila beliau ternampak sarung tangan pekerja buruh warna kuning berhampiran rumahnya dan beliau memutuskan untuk mengambil gambar dengan telefon baharunya.

“Saya rasa terkejut bagaikan disambar kilat,” kata beliau mengenai pengalamannya.

Dalam tahun-tahun berikutnya, beliau telah mengambil gambar dan mencatat maklumat mengenai lebih 5,000 sarung tangan – segala-galanya daripada miten kanak-kanak kepada sarung tangan berenda wanita.

Beliau menemui benda tersebut dipijak-pijak di jalan, tersekat dalam longkang, tergantung di kon lalu lintas atau pun terdampar di pantai.

Ishii, yang bekerja di sebuah restoran, tidak menyentuh sarung tangan tersebut. Beliau hanya merakamkan gambar setiap satunya dan merekod butir-butir mengenai lokasinya.

Daya tarikan, menurutnya, terletak pada imaginasi bagaimana sarung tangan berada di sana dan siapa yang memakainya.

“Saya membayangkan orang yang berada di sini, seseorang yang menggunakan sarung tangan untuk bekerja atau orang lain yang amat baik hati dan mengutipnya dari tanah,” kata beliau.

“Mereka tidak ada lagi di sini tetapi pastinya mereka pernah berada di sini beberapa minggu atau bulan lalu. Inilah yang membuat saya berasa seronok.”

Beliau telah membangunkan satu matriks pengkategorian, menentukan terlebih dahulu jenis sarung tangan – sarung tangan perubatan pakai buang? Miten kanak-kanak? – seterusnya sama ada ia masih berada di tempat ia tercicir atau telah pun dialihkan ke tempat menonjol oleh seseorang yang baik hati, dan kemudian menggambarkan jenis lokasi.

Pada satu ekspedisi baru-baru ini, beliau terjumpa sarung tangan kelabu di tanah di lintasan pejalan kaki.

“Saya boleh katakan ia merupakan jenis sarung tangan untuk tugas ringan/terabai/lintasan,” kata beliau ketika beliau membongkok untuk melihat dengan lebih dekat.

Pemeriksaan lebih dekat mendedahkan ia merupakan sarung tangan fabrik buatan jaringan untuk wanita, mendorong Ishii menilai ia dipakai oleh seorang wanita yang menanggalkannya di lintasan pejalan kaki untuk memeriksa telefon pintarnya ketika dia menunggu dan tidak perasan sarung tangannya telah terjatuh.

Pandemik koronavirus telah mendorong ramai orang memakai sarung tangan di luar rumah demi keselamatan – sumber yang kaya untuk Ishii.

“Pada musim panas 2020, kami mungkin melihat sarung tangan yang sama banyak dengan fasa musim sejuk,” katanya.

Tatkala Ishii bergerak ke lokasi lain, beliau menuding pada satu sarung tangan kulit di pagar tepi jalan.

“Ia adalah jenis fesyen/dikutip/pagar yang saya temui pada minggu lalu,” kata beliau.

Apabila beliau terjumpanya pada minggu lalu, beliau sedar beliau pernah melihat sarung tangan yang sama dua bulan sebelumnya – pada masa itu terlipat di sebatang tiang beberapa meter dari tempat itu.

“Sarung tangan solo merupakan fenomena dinamik yang sering berubah,” kata beliau, menambah beliau selalu mengunjungi tempat yang sama beberapa kali untuk memerhatikan sebarang perubahan, dan pernah sekali mencatat sarung tangan yang sama di sekurang-kurangnya lapan lokasi yang berlainan tetapi berdekatan.

Selepas tiga minggu, ia akhirnya hilang.

“Kemudian saya sedar bahawa tidak mencatat lokasi sarung tangan yang telah hilang sekarang bermakna saya telah terlepas satu petunjuk penting,” kata beliau.

Sejak itu, beliau telah kembali ke kira-kira 100 lokasi yang tidak mempunyai sarung tangan sekarang, sering mendapati pemandangan yang berubah termasuk bangunan dirobohkan atau rumput yang lebih panjang.

Minat mendalam Ishii bermakna beliau kadangkala mendapati dirinya turun dari bas sebelum tempat persinggahannya disebabkan beliau terjumpa sarung tangan.

Namun gangguan tersebut selalunya merupakan satu peluang untuk melihat nilai-nilai kebaikan hati di kawasan metropolis besar di mana penduduknya ada kalanya dianggap sebagai dingin atau tidak mesra, kata beliau.

“Terdapat orang yang tidak boleh membiarkan nasib malang atau tragedi yang menimpa orang lain, mereka tidak dapat menahan daripada mengutipnya,” kata Ishii.

“Di di Tokyo, di bandar besar ini, kami masih mempunyai ramai orang yang bersikap baik.”

Isteri dan anak perempuan Ishii menerima obsesi beliau dan kadangkala berkongsi lokasi sarung tangan yang dilihat oleh mereka, namun beliau yakin terdapat orang lain yang sama minat dengannya di luar sana.

“Mesti terdapatnya orang di seluruh dunia yang mempunyai perasaan untuk sesuatu yang telah berpisah dengan pasangannya,” kata beliau.

“Saya mahu mengadakan perjumpaan dengan orang berkenaan pada satu hari nanti, saya akan memanggilnya G7 atau Sarung Tangan Tujuh.” – AFP