Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    ‘Terlepas dari mulut buaya, masuk mulut harimau’

    JAKARTA – Kira-kira tiga minggu selepas tentera Rusia menyerang Ukraine, suri rumah tangga Indonesia, Liesye Setiana terpaksa menutup perniagaan kerepek pisangnya ketika bekalan minyak masak kehabisan di seluruh negara.

    Berjuta-juta pengguna dan pemilik perniagaan di negara dengan populasi keempat terbesar dunia itu telah dihambat oleh harga minyak masak yang melambung naik untuk berbulan-bulan lamanya.

    Tatkala perang di antara dua pengeluar utama bijirin dan biji bunga matahari menjejaskan pasaran global, kebanyakan pengeluar bergegas untuk memindah produk mereka ke luar negara untuk mengambil kesempatan ke atas harga yang naik mendadak.

    Setiana akan mengadakan perjalanan ke pasar raya yang mengambil masa lebih satu jam dari kampung terpencil Baruharjo di Jawa Timur untuk membeli minyak sawit lapan liter setiap hari demi mengekalkan perniagaannya.

    Namun ibu kepada dua orang anak yang berusia 49 tahun itu tidak menerima layanan, dengan penjual mencatu komoditi yang digunakan dalam produk daripada kosmetik kepada mentega.

    Pekerja menggoreng tempe, makanan tradisional Indonesia yang diperbuat daripada kacang soya tapai, dalam industri dari rumah yang menghasilkan kerepek di Jakarta. – AFP
    Sutaryo, pemilik industri kerepek tempe semasa bercakap kepada AFP. – AFP
    Seorang pekerja menyediakan minyak masak sebelum menggoreng tempe. – AFP
    Kerepek tempe disajikan di atas pinggan di Jakarta. – AFP
    Seorang pekerja menyediakan hirisan tempe, sebelum digoreng menjadi kerepek di Jakarta. – AFP

    “Saya berasa amat marah dan memberitahu pekerja bahawa saya benar-benar memerlukan minyak masak untuk kegunaan peribadi, bukan untuk disimpan dan dijual semula,” kata Setiana, yang biasa memperoleh sehingga 750,000 rupiah (AS$52) sehari menjual snek kuning yang menyelerakan di warungnya.

    “Bagaimana kami boleh mengalami kekurangan minyak masak apabila Indonesia adalah pengeluar minyak sawit utama di dunia?”

    Masalah yang dihadapi Setiana dengan bekalan hanya satu gambaran tentang krisis minyak masak yang telah mencetuskan barisan panjang penduduk yang menunggu berjam-jam lamanya dengan bekas kosong di tangan di seluruh pulau Jawa, Indonesia dan juga kawasan lain di Borneo.

    Dua orang meninggal dunia akibat kelesuan pada Mac – termasuk seorang penduduk yang telah beratur di tiga pasar raya berlainan, menurut media tempatan – ketika mereka menunggu dalam cahaya mata panas terik hanya untuk mendapatkan produk yang telah naik kepada 20,100 rupiah seliter pada kemuncak krisis.

    Indonesia menghasilkan kira-kira 60 peratus daripada bekalan minyak sawit global, dengan satu pertiga digunakan dalam negara. India, China, Kesatuan Eropah dan Pakistan adalah antara pelanggan eksport utamanya.

    Sekatan ke atas minyak masak di Indonesia memaksa kerajaan mengenakan pengharaman yang kini telah dibatalkan ke atas eksport pada bulan lalu, sekali gus mengurangkan harga dan menambah bekalan domestik.

    Namun pada akhir Mei, harga minyak masak borong, komoditi paling mampu di negara, masih mencecah pada 18,300 rupiah satu liter secara purata, melebihi sasaran kerajaan pada harga 14,000 rupiah, menurut data rasmi.

    Kenaikan harga telah menyebabkan ramai penduduk sukar membuat keputusan.

    Sutaryo, seperti kebanyakan warga Indonesia yang menggunakan satu nama, mengendali perniagaan kerepek tempe di luar rumahnya di Jakarta Selatan. Dia terpaksa menaikkan harga dan memecat empat pekerja demi mengekalkan perniagaannya.

    “Selepas harga minyak masak naik, kami perlu bijak mengira kos pengeluaran kami.

    “Pengguna kami tidak mempunyai pilihan lain melainkan menerima harga yang lebih tinggi untuk kerepek tempe kami,” katanya, merujuk kepada snek tradisional berasaskan kacang soya itu.

    Dengan permintaan masih belum pulih, pengeluaran di kilang Sutaryo telah merosot daripada 300 kepada 100 kilogram sehari, dan pendapatan harian berkurangan kepada enam juta rupiah daripada 15 juta rupiah sebelum pandemik.

    Kira-kira belasan pekerja memotong tempe menjadi hirisan nipis sebelum memasukkannya dalam kuali minyak panas, menggorengnya sehingga garing.

    Keadaan yang dihadapi adalah jauh berbeza daripada kesibukan perniagaan sebelum pandemik, menurut Sutaryo, apabila dia mempunyai pekerja untuk menggoreng kerepek tempe di luar rumah disebabkan kekurangan ruang.

    Harga minyak masak telah pun meningkat pada 2021, tetapi kesan serangan Moscow telah mendorongnya naik kepada rekod tinggi, kata Mohammad Faisal, pengarah eksekutif kumpulan pemikir Pusat Pembaharuan Ekonomi (CORE Indonesia).

    Kerajaan sekarang ini sedang bertindak untuk mendapatkan lebih banyak bekalan dalam negara, bermakna tidak mungkin berlakunya kenaikan harga yang dilihat selepas serangan Rusia ke atas Ukraine, katanya.

    Namun sementara harga mungkin telah turun di bandar Indonesia, ia masih tinggi untuk mereka yang menetap di kawasan luar bandar dan terpencil seperti Setiana.

    “Bagi penduduk yang berpendapatan lebih rendah, kesannya adalah besar kerana, pada masa yang sama, terdapat kenaikan harga untuk komoditi lain,” beritahu Faisal kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...